Wanita mahu diri diisytihar bukan-Islam

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam menangguhkan pendengaran rayuan seorang wanita, dilahirkan sebagai seorang Islam mengikut sebelah bapanya namun dibesarkan sebagai seorang beragama Buddha oleh ibunya, yang memohon untuk diisytiharkan sebagai bukan Islam susulan isu COVID-19.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), telah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan kes itu sebelum prosiding bermula kerana seorang daripada anggota pasukan perundangan MAIS merupakan kontak rapat seorang menteri yang diuji positif COVID-19.

Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marjuki memaklumkan pemberita bahawa pihak lain yang terlibat dalam kes itu tidak membantah permohonan tersebut.

Advertisement

Beliau berkata permohonan bagi menangguhkan kes itu dibenarkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadual mempengerusikan panel sembilan hakim untuk mendengar rayuan tersebut.

“Mahkamah telah menetapkan 27 Oktober untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran,” kata Jumirah.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Rosliza Ibrahim, 38, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman pemulanya bagi mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau seorang penganut agama Buddha dan bukan Islam.
 
Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Rosliza, memaklumkan media bahawa beliau tidak membantah permohonan untuk menangguhkan kes itu.

“Insiden seperti ini (COVID-19) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Kerajaan Malaysia, hadir sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah dalam rayuan itu.

Pada 20 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Dua isu itu ialah jika sesuatu isu atau kausa memerlukan penentuan sama ada seseorang itu adalah penganut Islam atau bukan Islam mengikut undang-undang berbanding sama ada seseorang itu bukan lagi beragama Islam, adakah Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan memutuskan isu berhubung tafsiran yang tepat mengenai Perkara 121 dan Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan?

Selain itu, perkara yang perlu diputuskan ialah berhubung Peraturan 24 (1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan kebenaran kandungan mana-mana permohonan bertulis bagi pendaftaran kad pengenalan atau kandungan mana-mana kad pengenalan tidak dibuktikan menerusi afidavit atau perbicaraan, sama ada kandungan status tersebut adalah mengikut Seksyen 41 Akta Relief Spesifik 1950? 
 
Rosliza memfailkan saman pemula pada 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau telah dilahirkan sebelum bapanya, seorang penganut agama Islam, dan mendiang ibunya, yang beragama Buddha, berkahwin.

Rosliza mendakwa bahawa beliau bukan seorang penganut agama Islam, oleh itu Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya. Beliau mendakwa telah dibesarkan sebagai seorang penganut agama Buddha oleh mendiang ibunya.

Pada 22 Jun 2017, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah yang bersidang di Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula Rosliza atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat sambil menambah bahawa perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Beliau berkata bukti yang dikemukakan Rosliza gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa beliau bukan seorang Islam semasa dilahirkan dan Tun Abd Majid berpendapat bahawa wanita itu dilahirkan sebagai seorang Islam.

Tun Abd Majid juga berkata kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Tinggi Sivil.

Rosliza mendakwa bahawa beliau telah menghubungi pihak berkuasa agama di 10 negeri lain dan berjaya mendapatkan pengesahan bahawa mereka tidak memiliki sebarang rekod ibunya telah memeluk agama Islam atau pernikahan antara ibu bapanya.

Beliau gagal dalam rayuannya yang ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018. – BERNAMA