Ustaz Khalil serah rumah baharu buat penduduk

- Advertisement -

LARUT: Keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Teras pada November tahun lalu akhirnya dapat mengukir senyuman kegembiraan menerima bantuan menerusi program Sayangi Rumahku.

- Advertisement -

Serahan kunci rumah baharu kepada pemilik-pemilik ini telah disempurnakan ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Perak dalam satu majlis ringkas, kelmarin.

Majlis turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Perak, Azrul Sani Ibrahim dan juga Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan kepada tiga penerima selaku pemilik rumah ini.

Menurut Ustaz Khalil, program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perak dalam merealisasikan bantuan secara bersasar dan sistematik di mana rumah mangsa telah rosak dan tertimbus dalam kejadian tersebut.

“Ini bagi membantu golongan miskin di negeri ini dengan menyediakan kemudahan asas agar mereka mendapat rumah baharu dalam menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

“Program bantuan perumahan ini adalah tanpa bayaran sama ada dibaik pulih atau dibina rumah baharu,” jelas beliau di Kampung Tersusun Redang Panjang, di sini.

Penerima bantuan ialah Milah Che Pie seorang ibu tunggal dan Abdul Rahman Hijazi yang bekerja kampung, serta Rasibah Che Hussin peniaga kecil-kecilan di mana mendapat rumah di lokasi baharu.

Menurut Ustaz Khalil, kerajaan negeri juga memperuntukkan pelbagai program bantuan sebagai inisiatif kepada rakyat di antaranya Simpanan Pendidikan Anak Perak bernilai RM600,000.

Selain Bantuan Dermasiswa Yayasan Perak sebanyak RM8 juta, Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak dengan jumlah RM1 juta, manakala Pinjaman Tabung Usahawan tanpa faedah diperuntukkan RM5 juta.

Malah maklumnya, terdapat program Kotak Makanan Yayasan Perak bernilai RM4 juta, serta memperuntukkan dana yang sama seperti tahun lepas iaitu berjumlah RM5 juta untuk pelaksanaan program Sayangi Rumahku.

“Bantuan seperti ini akan kita usahakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan rakyat khususnya di DUN Kubu Gajah terutamanya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perhatian lebih dari pihak berwajib,” ujarnya.

Ustaz Khalil sejurus selepas program ini meneruskan lawatan menemui pemilik rumah terbakar, Amzah Lop yang tinggal dalam serba kekurangan beratap zink dan kayu lama semenjak 10 tahun lalu.

Khalil ketika lawatan itu menyatakan komitmennya bagi membantu mangsa untuk menyelesaikan kemelut masalah dialami sejak sekian lama itu yang juga hidup tanpa bekalan elektrik dan air. – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -