Tukar hakim kes cabar sekolah vernakular – NGO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghantar surat kepada Hakim Pengelola Mahkamah Tinggi bagi meminta pertukaran hakim untuk mendengar kes mereka pada 28 September lalu.

Terdahulu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) telah memfailkan saman untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular.

- Advertisement -

Mereka meminta pengisytiharan bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, dan sejauh mana mereka membenarkan sekolah vernakular menggunakan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa utama, tidak selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, batal dan tidak sah.

Memetik portal Ismaweb, Peguam, Haniff Khatri Abdulla memberitahu Hakim Wong Chee Lin, gabungan NGO berkenaan menyatakan hasrat mereka supaya kes itu dibicarakan di hadapan hakim lain ekoran hakim itu tidak fasih berbahasa Melayu.

Walau bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan daripada Mahkamah Tinggi berkenaan permohonan perbicaraan tersebut.

Dalam pada itu, Chee Lin mengatakan bahawa beliau menyedari permohonan penolakan itu dan mereka perlu mengemukakannya secara rasmi.

“Sebelum anda membuat permohonan penolakan, ketika saya mengatakan saya sukar untuk memahami, apa yang saya maksudkan adalah loghat jurucakap, akan tetapi saya boleh meminta mereka untuk mengulanginya semula.

“Ini tidak bermaksud bahawa saya tidak dapat menguruskan perbicaraan kes dalam Bahasa Melayu. Saya juga berpengalaman mengendalikan perbicaraan di mana saksi bertutur dalam Bahasa Melayu,” kata Chee Lin kepada Haniff Khatri.

Sehubungan itu, Haniff Khatri kemudiannya mengatakan bahawa mereka akan mengemukakan permohonan penolakan secara rasmi terhadap Chee Lin.

“Oleh kerana pokok permasalahan kes plaintif adalah mengenai keperluan sekolah nasional atau satu aliran menuju kesatuan nasional, dan menentang sekolah vernakular yang diyakini akan menolak objektif tersebut, mereka juga percaya bahawa kemajuan bahasa kebangsaan mesti sihat dan inklusif di mahkamah,” kata Haniff Khatri.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan 4 Disember akan datang bagi sebutan semula kes, setelah hakim diberitahu bahawa Mahkamah Tinggi di Kota Bharu dijadualkan untuk mendengar permohonan pemindahan saman yang serupa yang akan dibicarakan di sini.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy telah hadir ke Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyatakan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi.

Di Kota Bharu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan turut mencabar perlembagaan tersebut.

Untuk tuntutan saman oleh GPMS dan MAPPIM, 11 parti politik dan organisasi termasuk MCA, MIC dan Gerakan telah mengajukan permohonan untuk terlibat sama dalam kes tersebut. – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -