Selesai hutang KFA jadi keutamaan

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor komited menyerah tugasnya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 15 Oktober ini.

Beliau berkata, 15 Oktober itu merupakan tarikh akhir masalah kewangan KFA yang melibatkan tunggakan gaji dan lain-lain dijangka selesai.

Advertisement

Katanya, surat peletakan jawatan bertarikh 25 September sudah diserah kepada pihak pengurusan KFA.

“Saya berharap tempat itu digantikan tokoh yang lebih layak. Saya tidak sesuai mentadbir persatuan sukan, walaupun ada pengalaman sikit-sikit tetapi kena banyak belajar lagi.

“Saya hanya pandai main sukan sahaja, bola sepak, kriket, olahraga dan lain-lain,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya juga peletakan jawatan Presiden KFA tiada kaitan dengan kritikan di media sosial berkaitan logo Darul Aman Football Club (Darul Aman FC) baru-baru ini.

Kata beliau juga menyelesaikan masalah kewangan KFA menjadi keutamaan baginya.

“Sekiranya gagal ditangani ia boleh menjejaskan prestasi pemain,” ujarnya.

Muhammad Sanusi juga berkata, jumlah sebenar hutang yang ditinggalkan pengurusan lama ialah RM14 juta walaupun sebelum ini dimaklum hanya RM10 juta sahaja. – HARAKAHDAILY 7/10/2020