Patuh SOP demi maslahat ummah

ALOR SETAR: Peningkatan kes positif Covid-19 di Malaysia, khususnya di Kedah amat membimbangkan memerlukan orang ramai mematuhi arahan pemerintah demi menjaga maslahat ummah.

“PAS Kedah turut menzahirkan rasa dukacita di atas penularan wabak walaupun masih terkawal namun kes meningkat dengan mendadak,” ujar Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya.

Advertisement

Menurutnya walaupun kerap kali masyarakat diingatkan mematuhi SOP yang ditetapkan namun masih terdapat segelintir yang mengabaikannya dan memandang remeh arahan berkenaan.

Maka katanya tidak hairanlah jika wabak ini masih lagi mengancam kehidupan dan berlegar di sekitar kita.

“Sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya.

Barang siapa yang menyusahkan orang lain, Allah boleh menyusahkan urusannya,” katanya memetik Hadis Nabi Muhammad SAW, Riwayat Al-Tirmizi agar menjadi renungan semua pihak.

Di samping itu Ustaz Ahmad mengajak orang ramai terus melipatgandakan munajat kepada Allah SWT serta meninggalkan perkara maksiat.

“Marilah sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat agar Allah mengangkat wabak ini dan melindungi kita semua dari kemudaratan dari segala penyakit berjangkit,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 7/10/2020