Muslimat ziarah keluarga arwah amilin PAS

- Advertisement -

BENTONG: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia telah menziarahi keluarga amilin PAS, Noraidah Md Esa, 37 dan anak-anaknya di kediaman mereka di Dar Al-Abrar, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Kunjungan ini sebagai melahirkan simpati dan merakamkan takziah atas pemergian suaminya, Hisham Yasaa, 47 yang telah kembali ke rahmatullah akibat kanser hidung dideritai sejak 4 tahun di Hospital Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Allahyarham yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Kawasan Batu meninggalkan Noraidah dan lima anak yang masih kecil termasuk seorang daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan terlantar.

Keadaan anaknya itu menyebabkan Noraidah tidak dapat aktif seperti sebelumnya, manakala komitmen arwah suami mulai terganggu setelah jatuh sakit di mana ziarah itu bertujuan menyuntik kekuatan keluarganya.

Rombongan dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada keluarga ini dengan ujian yang dihadapi. Sesungguhnya kematian itu pasti. Cuma masanya sahaja menjadi rahsia antara Tuhan dan hamba-Nya,” ujar Ustazah Nuridah.

Sempena lawatan itu juga pihak rombongan menghulurkan sedikit sumbangan agar dapat meringankan beban ditanggung keluarga ini. – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -