Lapisan kategori pesakit terlibat dalam COVID-19

- Advertisement -

MARI kita ulangkaji kategori pesakit dalam rantaian pengurusan COVID-19. Ramai sudah jadi panik akibat kluster politik PRN Sabah. Tak apa, itu urusan mereka untuk uruskan di peringkat atasan. Tugas saya adalah terangkan semula lapisan kategori pesakit yang terlibat dalam COVID-19. Jom baca seterusnya.

Index Case 

Adalah kes yang didapati sahih positif melalui ujian swab kerongkong (secara tepatnya RT-PCR).

- Advertisement -

(1) Index Case (IC) diwajibkan masuk hospital COVID-19 untuk rawatan minima 14 hari.
(2) Dibenarkan keluar hanya keputusan ujian negatif.
(3) Kontak Rapat beliau akan diarahkan menjalani saringan.

Person Under Investigation (PUI)

Adalah kontak rapat kepada IC. PUI ini lapisan 1.

(1) Maksud Kontak Rapat adalah: 
(a) Yang pernah bersosial atau berprogram dengan IC melebihi 15 minit, lebih-lebih lagi di kawasan yang tertutup.
(b) Duduk serumah atau sepejabat dalam ruang waktu yang munasabah.
(c) Duduk bersama dengan IC dalam jarak yang rapat.
(d) Bersentuhan fizikal dengan IC.
(e) Petugas kesihatan yang menguruskan IC tanpa memakai alat perlindungan.

(2) Apa yang PUI kena buat?
(a) PUI diwajibkan jalani ujian saringan COVID-19.
(b) Jika keputusan positif: Status bertukar jadi IC.
(c) Jika keputusan negatif: Hendaklah kuarantin dekat rumah selama minima 14 hari. Ujian saringan akan dibuat secara berkala mengikut keperluan.
(d) Jika bergejala dalam tempoh tersebut wajib dikuarantin dekat pusat kuarantin yang ditetapkan. 
(e) Pohon jujur dengan istilah kuarantin dekat rumah. Jangan ke sana ke sini dan ikut arahan kuarantin dari pejabat kesihatan.
(f) Program atau mesyuarat maya boleh dijalankan. COVID-19 tidak berjangkit melalui internet.

Person Closed Contact PUI

Adalah individu lapisan ke-2. Di mana beliau tidak pernah bersua dengan IC tetapi berhubung rapat dengan PUI. 

(1) Selagi PUI berkeputusan negatif beliau tetap jadi lapisan ke-2.
(2) Jika PUI positif: Dia bertukar status PUI pula.

(3) Apa perlu dia buat?
(a) Jangan panik. Duduk relaks. Jangan kepoci.
(b) Tunggu keputusan ujian dari lapisan 1 – PUI. Selagi keputusan tak keluar, buat kuarantin kendiri dekat rumah. Biasanya keputusan keluar dalam tempoh 48-72 jam.
(c) Kalau PUI positif dia wajib jalani ujian swab kerongkong.
(d) Kalau PUI negatif, beliau bebas! Tetapi senantiasa kena selalu beringat. Kalau bergejala sila tampil ke klinik untuk saringan.

Lapisan ke-3

Individu yang tiada kena mengena dengan mana-mana lapisan di atas.

(1) Jangan panik. 
(2) Hidup seperti biasa dalam norma baharu.
(3) Patuhi SOP. 
(4) Beri nasihat yang baik-baik, jangan kutuk orang. Nasib dan rezeki setiap kita berbeza-beza.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 7/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -