Kenyataan Perdana Menteri melegakan emosi rakyat

- Advertisement -

PERUTUSAN khas situasi Covid-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberikan kelegaan kepada seluruh rakyat yang terkesan dengan kenaikan secara mendadak bilangan pesakit Covid-19 mutakhir ini.

Antara perkara penting yang mendapat perhatian beliau adalah mengenai sektor pendidikan.

- Advertisement -

Dalam hal itu, Lajnah Pendidikan PAS menerima baik pencerahan serta penjelasan yang menjadi kegusaran para ibu bapa, pelajar serta warga pendidik apabila Perdana Menteri dengan jelas menyatakan situasi penularan wabak Covid-19 adalah terkawal.

Bahkan beliau memaklumkan, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memaklumkan beberapa SOP tambahan sekiranya perlu.

Oleh itu semua operasi institusi pendidikan PAS iaitu PASTI, SRITI dan SMITI beroperasi sebagaimana biasa kecuali pusat-pusat pendidikan yang berada di dalam zon merah (TEMCO) seperti di beberapa daerah di Sabah.

Walau bagaimanapun, pembelajaran di kawasan berkenaan diteruskan dengan kaedah berdasarkan Home-Based Learning.

Sehubungan dengan itu, Lajnah Pendidikan PAS akan memastikan institusi pendidikan yang berada di bawah seliaannya mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan mengambil tindakan memastikan rantaian wabak itu diputuskan.

Lajnah Pendidikan PAS juga mengikuti perkembangan semasa mengenai pemakluman khas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MKN terutamanya yang menyentuh sektor pendidikan.

Selain itu, para waris dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak KPM serta tidak tergesa-gesa berkongsi maklumat tidak pasti atau palsu.

Pastikan anak-anak sihat dan tidak bergejala ketika dihantar ke sekolah.

Wabak ini tidak mengenal peringkat umur, warna kulit dan latar belakang seseorang.

Sekiranya semua pihak mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga, situasi semasa akan lebih selamat dan sejahtera.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Ajk PAS Pusat
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan 2 PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -