Anwar nak apa sebenarnya?

KUALA LUMPUR: Tindakan ketua pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tanpa segan silu menyatakan menanti tarikh baharu untuk ke Istana Negara bagi menubuhkan kerajaan baharu tatkala wabak Covid-19 menular hanya memperlihatkan wajah sebenar pemimpin itu yang terlalu mementingkan diri.

Advertisement

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, sepatutnya apabila seseorang itu menjadi pemimpin biarlah ia bertindak menyenangkan rakyat terutamanya di dalam suasana negara sedang menghadapi Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar sedang menunggu tarikh baharu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung usahanya untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagi Ustaz Idris, tindakan Anwar itu akan memberi risiko dan mendatangkan mudarat kepada negara terutamanya mengganggu dari sudut kestabilan ekonomi dan keamanan di negara ini.

“Anwar sebenarnya nak apa? Beliau nak bawa negara ini ke mana?

“Tiba-tiba beliau tidak habis-habis dengan agenda peribadinya. Sepatutnya kita sekarang sama-sama lupa sekejap soal berpolitiking ini daripada duduk bergaduh sesama sendiri,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambahnya lagi, dalam kalangan ahli-ahli politik mereka sudah memperolehi elaun, pencen dan pelbagai kemudahan sedangkan rakyat berada dalam keperitan.

“Berapa ramai yang kena buang kerja? Berapa ramai yang sedang menunggu rumah-rumah untuk dilelong dan sebagainya?

“Ini yang patut difikirkan oleh kita semua, bukan duduk fikir mabuk nak menjadi Perdana Menteri,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/10/2020