PAS Titiwangsa lapor polis isu penularan berita palsu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Titiwangsa dan Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung penularan berita palsu membabitkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui aplikasi WhatsApp di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, pagi tadi.

Menurut Yang di-Pertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar, penularan berita tersebut merupakan satu fitnah kepada YDPA dan Institusi Istana Negara yang merupakan simbol penting kepada sesebuah negara.

- Advertisement -

“Kami buat laporan berhubung berita-berita portal, politik, media palsu yang menggunakan nama YDPA sebagai bahan kempen mereka, contohnya mereka kata YDPA telah bersetuju untuk membentuk kerajaan yang baru.

“Ini merupakan satu fitnah kepada YDPA, dan Insituti Istana Negara, iaitu simbol yang cukup penting kepada kerajaan Malaysia hari ini. Ia tidak sepatutnya disalah gunakan pihak lain yang mempunyai kepentingan.

“Kami masyarakat yang berada di Malaysia melihat perkara ini sangat serius, maka kami mohon Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat ambil tindakan terhadap pihak yang terlibat agar mereka ini yang cuba menggugat keharmonian masyarakat negara hari ini, dapat dibanteras sebaik mungkin,” jelasnya.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin melalui kenyataan media mewakili Istana Negara memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu membabitkan YDPA.

Katanya, Istana Negara sentiasa memantau dan memandang serius perkara tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hal ini kerana, tindakan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri mencemarkan kredibiliti YDPA dan Istana Negara selain mampu menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman negara dari pelbagai sudut.

Sementara itu, dalam laporan sama, PAS Titiwangsa turut membuat laporan polis berhubung beberapa portal berita palsu yang dilihat cuba mengelirukan pengguna internet, menggunakan nama yang seakan-akan sama atau menyerupai portal berita rasmi.

Antaranya seperti Bermana.net, Harakatdaily.net, Sinaran Harian dan lain-lain lagi.

Hal ini kerana, kata Khairul Anuar, dibimbangi mengelirukan masyarakat selain dilihat bertujuan memfitnah memberi gambaran buruk kepada kerajaan hari ini.

“Kami berpendapat bahawa ancaman ini merosakkan pemikiran rakyat kepada kerajaan yang memimpin hari ini, maka kami buat laporan polis supaya tindakan diambil terhadap mereka yang mengelirukan rakyat dengan berita-berita palsu pada hari ini,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan polis bersama AJK Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Hosalan Husin, AJK PAS Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan, dan Mohamad Bakhtar di IPD Wangsa Maju, di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 6/10/2020

- Advertisement -