Kerajaan Perak komited perangi rasuah

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak komited memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan syarikat berkait kerajaan (GLC) dan semua EXCO serta ADUN.

- Advertisement -

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peperangan melawan jenayah rasuah adalah jihad sosial untuk menyelamatkan negara, sekali gus agar kecekapan dan ketelusan kerajaan negeri dapat dipertingkatkan.

“Untuk menang dalam peperangan melawan jenayah rasuah, kerajaan dan SPRM memerlukan sokongan daripada semua pihak. Ini termasuk sokongan daripada para penjawat dan kakitangan GLC.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah mengorak langkah kehadapan dengan mewajibkan semua EXCO dan ADUN serta ahli keluarga terdekat untuk melaksana perisytiharan harta dalam akuan berkanun kepada Speaker DUN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita turut memberi perhatian khusus kepada GLC negeri. Kita telah menstruktur semula GLC negeri dengan melantik para profesional sebagi peneraju untuk meningkatkan tahap ketelusan dan kecekapan.

“Kita juga telah mengeluarkan Pekeliling Bilangan 4 Tahun 2020. Pekeliling ini memberi penekanan untuk memastikan segala perbelanjaan mematuhi semua peraturan kewangan yang telah ditetapkan,” ujarnya dalam Majlis Perasmian Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.

Beliau menyeru agar masyarakat untuk turut memainkan peranan melaporkan jenayah rasuah yang membabitkan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Beliau juga berpesan agar rakyat tidak perlu takut dan risau kerana pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malysia (SPRM), Persatuan Bekas Pegawai SPRM dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Seminar ini turut diisikan dengan tiga slot perkongsian utama bersama wakil GIACC, Dato’ Muhammad Salim Sundar Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah DSAE dan Strategik Jabatan Perdana Menteri, Mohd Gunawan Che Ab Aziz serta Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak ini turut dihadiri seramai 200 orang dalam kalangan pegawai tertinggi, ketua-ketua jabatan dan penjawat awam. – STRATCOM

- Advertisement -