FATAH dan HAMAS bersatu depani musuh bersama

SAYA berjanji untuk berkongsi berita paling gembira dalam sejarah Palestin beberapa tahun belakangan ini. Berita tersebut adalah berita usaha dua faksi terbesar Palestin FATAH dan HAMAS untuk bersatu di meja rundingan dan mendepani musuh yang sama iaitu penjajah Zionis.

FATAH dan HAMAS mula tidak sehaluan apabila FATAH menolak penentangan bersenjata ke atas penjajah dan beralih ke meja rundingan pada awal 1990-an sehingga menandatangani Perjanjian Oslo. Ideologi FATAH yang Sekular dan HAMAS yang Islamis juga menyebabkan HAMAS serta faksi Islamis lain seperti Jihad Islami tidak berada di dalam Palestinian Liberation Organization (PLO) yang berkuasa di dalam Palestinian Authority (PA).

Perbalahan paling teruk dalam sejarah FATAH-HAMAS berlaku apabila HAMAS memenangi pilihan raya tahun 2006 dan menjadi kerajaan yang sah. FATAH menolak kejayaan ini dan berlaku perang saudara di Gaza sehingga ratusan penduduk mati dan akhirnya FATAH disingkirkan dari Gaza. Gaza mula diperintah oleh HAMAS dan Tebing Barat diperintah oleh FATAH.

Advertisement

Penyatuan semula kedua faksi paling hampir berjaya pada tahun 2014 apabila Kerajaan Perpaduan diwujudkan di Gaza. Walaupun ia dinamakan Kerajaan Perpaduan, HAMAS yang banyak mengalah dengan membubarkan kementerian yang ada dan menyerahkan kuasa kepada FATAH yang dipimpin oleh Perdana Menteri (PM) Rami Hamdallah menggantikan PM Ismail Haniyeh.

Kerajaan Perpaduan tidak berjaya apabila kedua-dua faksi tidak dapat bertemu pada satu titik – penyerahan senjata dan pembubaran kekuatan tentera HAMAS dan kekuatan persenjataan hanya berada di tangan FATAH atau PA. Tuntutan ini dibuat FATAH kerana tidak mahu adanya ‘deep state’ dan HAMAS menolak kerana sejarah FATAH sejak menandatangani Perjanjian Oslo ialah adanya kerjasama di antara FATAH dan Israel untuk menjaga keamanan Israel. Ini bermakna kedua pihak bekerjasama untuk menangkap ‘teroris’ yang melakukan operasi di dalam kawasan tanah jajahan, berkongsi maklumat perisikan dan lain-lain.

Mutakhir, FATAH dan HAMAS bertemu di Istanbul pada 22 September lepas untuk sekali lagi berunding dan berdamai. Kenapa pertemuan kali ini berbeza dan dijangka akan berjaya? Ada beberapa sebab:

(1) FATAH berada dalam keadaan terhimpit kerana mula hilang relevansi apabila perjanjian dan negosiasi yang dibuat bersama penjajah tidak mendatangkan apa-apa hasil malah mengorbankan hak penduduk Palestin. PA juga berdepan masalah kewangan apabila dana yang diberikan oleh negara-negara luar seperti Arab Saudi disekat.

(2) HAMAS telah lama mahukan kesatuan kerana tanpa kesatuan pembebasan tak akan dapat dicapai. Pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun 2014 berlaku akibat sempitnya Kerajaan HAMAS ketika itu berdepan kepungan ekonomi dan sempadan sehingga ada risiko berlaku kebangkitan rakyat.

(3) Musuh Palestin semakin kukuh bekerjasama dengan Deal of The Century dan kempen normalisasi negara-negara Arab. Naiknya Trump juga menyebabkan perundingan PA semakin susah dibuat dengan Israel.

(4) Kepimpinan Palestin mula sedar bahawa kejayaan membebaskannya tidak boleh tidak perlu bermula dengan diri sendiri apabila satu demi satu rakan-rakan strategik lama berdepan masalah sendiri atau meninggalkan mereka.

(5) Negosiasi dilakukan di antara kepimpinan tertinggi Mahmoud Abbas dan Ismail Haniyeh serta didukung perunding yang lebih ikhlas iaitu Turki, berbanding perunding sebelumnya seperti Mesir.

(6) Rundingan kali ini meletakkan sasaran dan pelan yang jelas dengan pelaksanaan pilihan raya setelah 15 tahun berlalu sejak pilihan raya terakhir. Pilihan raya yang akan dibuat ialah Pilihan Raya Parlimen, Pilihan Raya Presiden kemudian Pilihan Raya PLO. Keputusan mesyuarat meletakkan jangka masa 6 bulan untuk pilihan raya diadakan.

Pastinya kejayaan atau kegagalan rundingan terakhir ini bergantung sama ada ada pihak yang akan menarik diri atau tidak menerima keputusan pilihan raya sekiranya berpihak ke faksi lawan seperti yang berlaku pada tahun 2006.

Kerajaan Malaysia dan negara-negara lain boleh memainkan peranan menekan supaya penyatuan ini berlaku sebagai syarat untuk terus memberikan fokus kepada Palestin. Di pihak kita sebagai rakyat, tadahlah tangan dan berdoa kerana tanpa penyatuan ummah perjuangan tidak akan berakhir dan pembebasan tak akan dapat dikecapi.

NADIR AL-NURI – HARAKAHDAILY 6/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.