Agar Allah S.W.T segera mengangkat wabak ini

- Advertisement -

WABAK pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada hari ini merupakan ujian daripada Allah S.W.T untuk manusia. Di Malaysia pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Kerajaan terutamanya bagi golongan barisan hadapan untuk memastikan wabak ini terputus rangkaiannya. Sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita patuh terhadap arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan. Sudah tentu arahan pihak Kerajaan mengandungi maslahah ammah dan maslahah khassah.

Menurut Imam al-Suyuti ( تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة ) iaitu polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat. Oleh itu, mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi wajib dan amalan tersebut merupakan ibadah kepada Allah S.W.T.

Selain itu, sebagai umat Islam kita diwajibkan bertaubat kepada Allah S.W.T daripada segala dosa-dosa. Dr. Mohammad Mahmud al-Sawaf menulis dalam kitab ‘Athara al-Dhunub fi Hadmi al-Umami wa al-Syu’ub’ menyatakan bahawa dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia menyebabkan mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T. Menurutnya, umat yang terdahulu telah dibinasakan oleh Allah S.W.T dengan dahsyat seperti penyakit taun, taufan, banjir dan sebagainya. 

- Advertisement -

Dato’ Ustaz Mohd Amar Abdullah dalam kuliahnya menyatakan bahawa Allah S.W.T telah menceritakan di dalam al-Quran berkenaan bala yang menimpa umat terdahulu sebagai peringatan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ‎

“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab kepada mereka.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bertaubat kepada Allah S.W.T merupakan jalan penyelesaian yang wajib dilakukan segera oleh

umat Islam di Malaysia. Firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ یَسۡتَغۡفِرُونَ

“Dan Allah S.W.T tidak akan menurunkan azab sedangkan mereka beristighfar kepadanya.”

(al-Anfal: 33)

Imam al-Tabari menjelaskan bahawa Qatadah mentafsirkan ayat ini dengan menyebut kaum tersebut tidak beristighfar (bertaubat), jika mereka beristighfar nescaya azab itu akan diangkat oleh Allah S.W.T. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin, jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah S.W.T maka syarat taubatnya ada tiga:

(1) Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
(2) Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
(3) Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya. 

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia, maka syaratnya ditambah satu lagi, iaitu meminta maaf dan mengembalikan hak seseorang itu. Saya menyarankan semua pihak dapat melaksanakan taubat ini bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T secara ikhlas sama ada mereka seorang pemimpin negara dan rakyat. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menggariskan tatacara Solat Sunat Taubat, iaitu mengambil wuduk dengan sempurna, menunaikan solat dua rakaat dan beristighfar kepada Allah S.W.T. Sebaiknya beristighfar kepada Allah S.W.T 100 kali atau lebih pada setiap hari agar Allah S.W.T mengampunkan dosa- dosa kita dan menghilangkan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia ini.

USTAZ AHMAD TAJUDIN ABU BAKAR
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 6/10/2020

- Advertisement -