Solat: Kawal suara, elak ganggu orang lain

- Advertisement -

ISLAM menjaga ketertiban bacaan dalam solat jamaah sebagai makmum dengan membaca rukun qauli secara perlahan sekadar didengari sendiri, bukannya didengari oleh orang lain di sekelilingnya. Islam menekankan adab ini supaya suara-nya itu tidak mencuri tumpuan orang lain ketika solat. 

Seorang makmum hendaklah mengeluarkan angin suara dengan bunyi yang perlahan, sekadar untuk didengari oleh dirinya sahaja. Ukuran ‘didengari sendiri’ ialah dengan kadar mendengar suaranya apabila berada dalam bilik yang sunyi. 

Kalau berada dalam tempat yang bising atau bunyi kipas yang kuat, dia tidak perlu meninggikan suaranya lagi. Cukup dengan kadar seperti dia berada dalam bilik yang sunyi. 

- Advertisement -

Bacaan dalam solat mestilah diungkapkan dengan mulut dengan menyebut makhraj yang betul, bukan dengan membaca dalam hati. 

Tabiat membaca kuat ini tidak digemari oleh ahli jamaah kerana mengganggu tumpuan mereka dalam solat. Islam menjaga ketertiban ini untuk menjaga kemaslahatan semua ahli jamaah.  Islam itu indah 

Tahap kuat atau perlahan bacaan dalam solat 

(1) Tidak bertutur atau dalam istilah lain, baca dalam hati.

(2) Menggerakkan bibir sahaja dan ungkapan huruf tidak disebut dengan makhraj yang jelas. 

(3) Menggerakkan mulut dengan mengungkapkan huruf dengan makhrajnya yang betul. Secara tidak langsung ia telah mengeluarkan angin suara dan dia boleh mendengarnya sendiri. 

(4) Menggerakkan mulut dengan mengungkapkan huruf dengan makhrajnya yang betul. Mengeluarkan suara sehingga didengari oleh orang sebelah.

(5) Menggerakkan mulut dengan mengungkapkan huruf dengan makhrajnya yang betul. Dia mengeluarkan suara sehingga didengari oleh orang di sekeliling.

Hukum bacaan

Nombor 1 – Jelas tidak sah kerana tidak bertutur. Ini sepakat semua ulamak. 

Nombor 2 – Ada keraguan dalam pembacaannya kerana membaca mestilah menggerakkan mulut dan bibir. Mungkin ada makhraj huruf yang disebutkan itu tepat dan ada yang tidak. 

Nombor 3 – Sah dan ini tahap yang minimum. Apabila membaca dalam keadaan ini, paling minimum ia akan mendengar secara tidak langsung ke telinganya biarpun dalam bentuk angin suara.

Nombor 4 – Sah dan dia perlu mengawal suaranya agar tidak mengganggu orang sebelah. Apabila keluar suara dengan jelas – semua ulamak sepakat kata sah. 

Nombor 5 – Sah dan ini adalah bacaan dalam solat atau tempat yang disunatkan untuk dikuatkan bacaannya

DR. MUHAMAD FAISAL – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -