REACH cadang hukuman berat kepada pencemar sumber air

Foto sekadar hiasan
- Advertisement -

SEKALI lagi penduduk di Selangor dan Lembah Kelang terpaksa menderita akibat pencemaran sumber air mentah. Perkara yang sama telah berlaku sebelum ini dan seolah-olah rakyat tidak akan terlepas dari seksaan. Gangguan bekalan air sudah menjadi satu cara hidup di Lembah Kelang.

- Advertisement -

Dalam kejadian bulan lepas bekalan kepada 1.2 juta isi rumah telah terjejas. Dalam kejadian terkini lebih 300,000 isi rumah di 273 kawasan di daerah-daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Ketika pihak berkuasa sama ada di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri tercari-cari akan penyelesaiannya, REACH melihat hukuman ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak cukup berat untuk mencegah kejadian. Hanya hukuman-hukuman yang berat yang akan dapat memaksa mereka yang terlibat seperti pemilik-pemilik agar bertindak dengan lebih bertanggungjawab.

Justeru REACH mencadangkan selain dari denda yang tinggi, hukuman-hukuman berikut kepada mereka yang didapati bersalah,

1.) Penjara mandatori dengan tempoh minima selama 12 bulan.
2.) Sebatan
3.) Rampasan aset.

Hukuman-hukuman pula adalah untuk pengurusan tertinggi termasuk pemilik agar kakitangan-kakitangan bawahan tidak dijadikan “kambing hitam”.

Satu tindakan yang drastik perlu dilakukan agar dapat menakutkan mereka yang cuai atau tidak bertanggungjawab. Rakyat yang menanggung derita mahu melihat kerajaan bertindak tegas.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Research Centre For The Advancement Of The Community And Housing (REACH) – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -