Rakyat Malaysia dinasihat tidak lalai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak boleh berasa lalai dan seronok walaupun Malaysia diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik COVID-19 kerana virus ini masih wujud dalam komuniti.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata pada satu ketika negara telah hampir bebas dari COVID-19, tetapi kealpaan masyarakat terhadap virus yang tersembunyi di dalam komuniti itu memungkinkan ia merebak semula.

“Walaupun kita diiktiraf WHO sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik ini, tetapi kita tak boleh seronok, tak boleh lalai, ini rakyat kena faham, virus ini masih ada dalam komuniti, dan ia bukan tugas mudah untuk atasi (COVID-19),” katanya ditemu bual Bernama TV di sini semalam.

- Advertisement -

Dr Subramaniam juga berkata sikap rakyat yang alpa terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal juga boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kes.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan pandemik itu, Dr Subramaniam berkata COVID-19 mungkin hanya dapat dicegah sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Beliau berkata tanpa vaksin dan ubat yang boleh merawat, ia bergantung sepenuhnya kepada kawalan kendiri masyarakat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik ini. – BERNAMA

- Advertisement -