Pembangkang Sabah tidak bertanggungjawab

- Advertisement -

SEBELUM ini ADUN DAP Kapayan, Sabah Jannie Lasimbang dan kini ADUN PKR Api-api Christina Liew pula kedua-dua membantah sebarang cadangan Kerajaan GRS Sabah untuk melantik wakil PAS sebagai salah seorang ADUN yang dilantik.

Perlembagaan Negeri Sabah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik 6 wakil tambahan sebagai ADUN selain 73 yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum.

Alasan bantahan pihak pembangkang ini antara lain kononnya politik PAS tidak sesuai di Sabah, kononnya PAS ini berfahaman ekstremis dan tidak mesra masyarakat majmuk. Semuanya fitnah untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah.

- Advertisement -

Tetapi mereka lupa PAS ini sebahagian dari gabungan GRS yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah hari ini. PAS aktif di Sabah sejak tahun 80-an dan dalam PRN lalu giat berkempen untuk memenangkan calon-calon GRS.

Sebahagian besar pimpinan dan aktivis PAS adalah anak-anak Sabah yang datang dari pelbagai latarbelakang termasuklah profesional dan ulamak. 

Kuasa melantik ADUN tambahan adalah kuasa kerajaan negeri, mengapa pula DAP dan PKR yang mahu campur tangan dan mengganggu proses pemilihan sedangkan mereka pembangkang?

PAS sebuah parti yang punya reputasi dan ada 3 Menteri dan 5 Timbalan Menteri di Kerajaan Persekutuan. Tiga MB negeri-negeri diwakili PAS. Menuduh PAS ekstrem dan tidak mesra masyarakat majmuk sangat biadab dan tidak bertanggungjawab.

Biarlah GRS yang timbang dan putuskan bukannya DAP atau PKR yang ditolak rakyat Sabah itu. Mereka lupa semasa Shafie Apdal WARISAN menjadi Ketua Menteri dulu beliau telah melantik wakil DAP yang kemudiannya didapati bukan anak Sabah pun.

Biarlah rakyat Sabah mengenali dan menilai wakil PAS kiranya dilantik. Dengan rekod prestasi baik dalam Kerajaan Persekutuan selain Kerajaan Negeri Kelantan,Terengganu, Kedah, Perak, Johor dan Melaka, tidak ada sebab wakil PAS di Sabah perlu disekat.

Saya pasti kiranya diberi peluang PAS Sabah akan mencalonkan seorang anak negeri yang layak dan berkebolehan yang pasti mampu menyumbang ke arah pembangunan negeri sebagaimana parti-parti lain. Nasib dan masa depan Negeri Sabah terletak pada tangan GRS bukannya DAP atau PKR.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -