PASTI Lenggong taja yuran murid terpilih

- Advertisement -

LENGGONG: PASTI Kawasan Lenggong menawarkan tajaan yuran pengajian sepanjang tahun kepada murid PASTI terpilih sebagai inisiatif membantu kelangsungan pembelajaran murid yang berkenaan.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi PASTI Lenggong, Ustaz Mohamad Luqman Khairi, tajaan tersebut disediakan untuk murid yang mengalami masalah pendapatan keluarga, ditimpa musibah, termasuk juga dalam kalangan anak yatim.

“Baru-baru ini, kita telah memilih seorang pelajar PASTI iaitu Muhammad Adam Haiqal untuk menerima bantuan ini sekali gus menjadikan beliau murid pertama yang terpilih untuk program tajaan (yang) julung kali diadakan oleh Pemuda PAS Lenggong.

“Bapanya meninggal dunia Julai lepas di Hospital Taiping akibat Intracranial Bleeding (pendarahan dalam kepala). Keputusan ini diambil (bagi) meringankan beban ibunya (yang) terpaksa menyara tiga orang anak selepas kematian suami. Maka anak kecil ini akan ditaja yuran pengajiannya di PASTI.

“Program ini dijangka akan terus diperluaskan khususnya kepada ibu bapa dan masyarakat luar bandar. Justeru, orang ramai digalakkan untuk terus menyumbang bagi menjayakan usaha ini. Mudah-mudahan ianya menjadi rantaian pahala yang tidak putus (sekalipun) kita telah tiada di dunia,” jelas beliau.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Lenggong, Razman Zakaria diiringi Ahli Jawatankuasa PAS Lenggong telah menyantuni pelajar PASTI As-Syafieyah, Kampung Kuak, Muhammad Adam Haiqal yang telah kematian bapa baru-baru ini di rumah beliau.

Sumbangan dana pendidikan dan kebajikan PASTI Lenggong ini boleh disumbangkan orang ramai ke akaun Agro Bank Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI Lenggong), 1005242000008841  atau menghubungi Ustaz Luqman di talian 019-5169895 dan Ustaz Fitri, 019-5621747. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -