Derma darah satu bentuk bantuan kepada awam

- Advertisement -

GOPENG: Pelbagai tindakan dan kaedah boleh diusahakan oleh setiap individu dalam bersama-sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat mengikut keupayaan masing-masing.

- Advertisement -

Tambahan pula ketika ini, wabak COVID-19 di negara ini masih belum reda sepenuhnya, malah terdapat lokaliti tertentu menampakkan peningkatan kes positif yang membimbangkan.

Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Perak (STRATCOM), Ustaz Hafez Sabri mengulas demikian ketika program kempen derma darah di Dewan Dato’ Ahmad Said, Sungai Rokam, di sini kelmarin.

“Tuan puan yang hadir sebagai penderma darah hari ini adalah hero negara yang turut membantu pihak Tabung Darah Negara yang memerlukan 2,000 pek darah sehari ketika ini.

“Malah menderma darah juga suatu ibadah dan amalan terpuji yang wajar dicontohi. Di sini juga kita dapat memupuk perpaduan di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di negara kita.

“Teruskan membantu dan sebarkan kempen dengan lebih meluas agar bekalan darah negara sentiasa mencukupi di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” ujar beliau.

Katanya lagi, banyak manfaat diperolehi melalui kerjasama serta keterlibatan pelbagai pihak dalam pelaksanaan program seperti ini dengan diketuai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung (JSPK) Sungai Rokam dan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Gopeng.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Ustaz Abu Bakar Hussain memaklumkan, sebanyak 51 pek darah berjaya didermakan dan berharap agar semua pemimpin pelbagai peringkat sentiasa bersedia untuk membantu memudahkan urusan masyarakat.

“Apa yang kita buat hari ini, pemeriksaan kesihatan, sumbangan kebajikan melalui insentif PENJANA dan memudahcara proses mengisi borang permohonan ibu tunggal wajar diteruskan,” pesannya lagi.

Program yang bertemakan ‘Semarak Sihat’ ini turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) PAPISMA bersama agensi kerajaan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pembangunan Wanita. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -