Apa lagi yang Anwar mahu?

TANPA segan-silu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar beberapa hari sebelum rakyat Sabah keluar mengundi Sabtu 26 September lalu dengan dakwaan ‘I have the numbers’ kononnya majoriti Ahli-ahli Parlimen menyokong beliau untuk menuntut jawatan Perdana Menteri (PM).

Beliau mendakwa Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah roboh dan beliau bakal membentuk kerajaan yang baru. Rata-rata rakyat Malaysia menepuk dahi dan menggeleng kepala ‘sarkas’ apalah yang Anwar main kali ini.

26 hari bulan rakyat Sabah keluar mengundi dan WARISAN Plus yang didukung Anwar kecundang. GRS yang naik. Malah partinya PKR cuma menang 2 dari 7 kerusi yang ditandinginya iaitu seorang dari KDM yang non-Muslim dan seorang Cina non-Muslim.

Advertisement

Kalau benar Anwar punya ‘numbers’ dan masih popular dan disanjung pasti rakyat Sabah memenangkan kumpulan beliau tetapi tidak. Sementara itu individu dan kumpulan yang kononnya didakwa menyokong beliau untuk menjadi PM pula masing-masing menyangkal dan malah menyerang beliau.

Dan hari ini berlegar lagi di media senarai 121 MP yang kononnya menyokong beliau. Nama seperti Tan Sri Noh, Shahidan, Tajuddin Pasir Salak turut dilonggokkan sedang mereka ini yang paling vokal menolak PH yang ditunggangi DAP!

Cukup-cukuplah membawa keresahan, ketidaktentuan dan porak peranda dalam negara. Rakyat selesa dengan PM yang ada dan masa depan negara berdasarkan 7 PRK lalu dan PRN Sabah ternyata terletak di tangan Muhyiddin, PN, MN, GPS dan GRS. Anwar sudah sejarah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/10/2020