2 peratus pelajar UMK daftar secara fizikal

PENGKALAN CHEPA: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatat jumlah kemasukan pelajar baharu seramai 2,854 orang atau 76 peratus bagi sesi akademik 2020/2021.

Jumlah pendaftaran itu secara atas talian sehingga jam 3.05 petang semalam. Tempoh pendaftaran sehingga jam 5 petang.

Advertisement

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, pendaftaran kemasukan pelajar diadakan secara atas talian sebagaimana saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Bagaimanapun katanya, pendaftaran pelajar secara bersemuka di UMK Kampus Kota, UMK Kampus Bachok dan UMK Jeli mencatatkan seramai 60 pelajar atau sebanyak dua peratus.

“Jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,780 pelajar baharu yang ditawarkan ke UMK sesi pengajian kali ini.

“Proses pendaftaran pelajar baharu berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang akhbar sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) di UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ts Dr Arham Abdullah dan Pendaftar UMK Mazula Sabudin.

Dr Noor Azizi juga berkata, UMK mengambil serius terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pelajar serta masyarakat. – HARAKAHDAILY 5/10/2020