Murid PASTI hafal surah guna kaedah kartungogi

TELUK INTAN: Murid-murid PASTI Al-Khairiah Kampung Banjar telah mengikuti bengkel Hafal dan Lukis surah Al-Fil menggunakan kaedah kartungogi di premis pra-sekolah tersebut, dekat sini kelmarin.

Advertisement

Bengkel ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Nasrul Che Abdul Halim penceramah jemputan dari negeri Kedah atau lebih dikenali Ustaz Nasrul Kartun.

Menariknya bengkel ini mendedahkan murid kepada hafalan bersama tafsiran setiap ayat dengan melalui lukisan ringkas yang dimulakan dengan kaedah mengingat menggunakan teknik melukis. 

Setelah teknik melukis dilakukan, murid-murid juga menghafal surah tersebut dengan teknik pergerakan anggota badan di mana beberapa murid sempat mempersembahkan bakat hafalan mereka dengan baik di hadapan murid-murid lain.

Bengkel selama tiga jam ini sangat memberi manfaat kepada murid yang rata-rata sangat aktif dan memberi reaksi baik sehingga akhir bengkel ringkas tersebut.

Ketua Guru PASTI Al-Khairiah, Siti Khadijah Ibrahim berkata teknik ini turut memberi manfaat kepada guru guru PASTI.

Katanya, guru-guru PASTI di sini mendapat ilmu baru dengan teknik tersebut sebagai variasi pengajaran kepada murid untuk menghafal dan memahami makna surah-surah lain dalam Al-Quran.

Turut hadir Penaziran PASTI Kawasan Teluk Intan, Sisriyati Sahari yang turut bersetuju teknik ini perlu dikuasai oleh guru-guru PASTI untuk menarik minat murid kepada Al-Quran. – HARAKAHDAILY 4/10/2020