MPKK rangka mekanisme urus pelupusan sampah

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang merangka mekanisme terbaik bagi membantu komuniti kampung menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal sekali gus mengurangkan isu sampah haram.

- Advertisement -

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad berkata, antaranya ialah melalui pewartaan seluruh kawasan daerah Kuala Kangsar seluas 2,564 kilometer (km) persegi sebagai kawasan Perbandaran.

“Kawasan Perbandaran kita adalah 204 km persegi (manakala) kawasan Daerah 2,564 km persegi. Jadi masyarakat kampung kadang-kadang tidak ada tempat untuk membuang sampah.

“Jadi salah satu alternatif mereka ialah membuang sampah di mana ada longgokan-longgokan sampah,” ujar beliau di Program Tak Nak Sampah Haram, di sini pagi semalam.

Melalui pewartaan itu ujarnya, MPKK mempunyai kuasa untuk mengenakan cukai pintu ke atas industri-industri besar yang beroperasi di seluruh kawasan daerah ini bagi menampung sebahagian besar kos perkhidmatan tersebut.

“Contohnya di Sungai Siput ada satu solar farm. Ada satu solar farm lagi nak buka. Jadi (keseluruhan) itu 250 ekar. Jadi cukainya (dijangka) tinggi. Yang ini kita boleh bantu untuk cross-subsidize sampah di kampung-kampung.

“Contoh lagi satu empangan TNB. TNB bersedia untuk (dikenakan cukai) tetapi kita tak boleh kutip (cukai) sebab di luar kawasan (Perbandaran) kita,” jelas beliau.

Sekalipun kaedah ini bakal mendedahkan komuniti kampung kepada cukai baharu, MPKK bertekad untuk memastikan cukai itu adalah paling minimum dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal adalah yang terbaik.

Dalam masa sama Zulqarnain mengalu-alukan ruang perbincangan dengan masyarakat melalui Ahli MPKK yang dilantik bagi menyelesaikan isu longgokan sampah haram.

Zulqarnain turut menasihatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengasingan sisa pepejal supaya kuantiti bahan buangan iti tidak bertambah banyak.

“Yang tak boleh dikitar semula itu sama ada kita tanam atau ada tempat-tempat (pelupusan) khusus (untuk dilupuskan). Dan yang boleh dikitar semula itu boleh kita kumpulkan (dan) kita hantar kepada tempat-tempat kitar semula,” pesan beliau.

Program Tak Nak Sampah Haram ini melibatkan tiga lokasi berbeza dihadiri ahli-ahli MPKK, kakitangan MPKK, sukarelawan dari Universiti Sultan Azlan Shah dan penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 4/10/2020

- Advertisement -