Bersama tangani COVID-19

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengajak seluruh rakyat Malaysia bertenang, bersatu dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani gelombang kedua wabak COVID-19 yang sedang melanda.

- Advertisement -

Pada ketika ini keutamaan rakyat dan pemerintah seharusnya bagai aur dengan tebing. Ia pasti memberikan kesan positif terhadap emosi rakyat dan motivasi barisan hadapan yang sedang bekerja untuk negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri telah pun menjelaskan bahawa situasi ketika ini adalah terkawal. Pada masa yang sama, wabak COVID-19 masih boleh dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Begitu juga, komitmen Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah KKM dan pasukan yang sentiasa bersiapsiaga dengan kekuatan fizikal serta fasiliti yang cukup dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Beliau juga terus-menerus menasihatkan rakyat supaya memberikan kerjasama mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Seperkara lagi, kita mesti membendung penularan berita palsu dengan cara mendapat maklumat daripada sumber yang rasmi berkaitan dengan COVID-19 daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PAS percaya, KKM dan MKN mampu mengawal penularan wabak ini sepertimana yang telah dilakukan sebelum ini sehingga mendapat pengiktirafan dunia.

PAS juga menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan dalam sebarang keputusan Kabinet yang sudah pastinya melihat kepada pelbagai faktor terutamanya kesihatan, kebajikan dan ekonomi rakyat.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
4 Oktober 2020 | 16 Safar 1442 – HARAKAHDAILY 4/10/2020

- Advertisement -