Polis siasat penularan Hizbut Tahrir ke negeri lain

- Advertisement -

KUANTAN: Polis akan menyiasat jika fahaman yang dikatakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM),  menular ke negeri selain Johor dan Selangor.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata selain kedua-dua negeri berkenaan, turut memfatwakan HTM sebagai bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Sabah, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. 

“Kita sedia bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri dan agensi lain yang terlibat dalam siasatan kita terhadap fahaman ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam. 

Majlis dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kelmarin, media melaporkan Ayob Khan berkata Polis Johor membuka kertas siasatan terhadap HTM selepas menerima 17 laporan terhadap kumpulan itu yang dikatakan aktif merekrut ahli baru termasuk daripada golongan berpendidikan dan profesional serta pelajar universiti.
 
Mengulas perkembangan berbeza, Huzir berkata pihaknya masih belum dapat mengambil kenyataan editor buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang didakwa menampilkan imej menghina jata negara pada kulit bukunya.

“Kita ada berhubung dengan peguam (editor tersebut) dan beliau memberikan kerjasama yang baik, namun kita hendak kenyataan editor itu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya.

Siasatan terhadap buku itu bermula pada 29 Jun lalu, namun polis mendapati editor yang bertanggungjawab terhadap buku berkenaan – seorang lelaki warga tempatan – sudah keluar negara sejak 21 Jan lepas. – BERNAMA 

- Advertisement -