Keselamatan rakyat lebih utama dari PRU15

ISU COVID-19 pada ketika gelombang yang pertama rakyat menghargai langkah politik mewujudkan Kerajaan Persekutuan yang baru hingga tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) yang seterusnya cekap bertindak mengawal COVID19 dan membantu rakyat dengan pakej Prihatin RM250 bilion, tambahan untuk IKS RM10 bilion, PENJANA RM35 bilion dan terbaharu bantuan Prihatin 2.0 RM10 bilion.

Malangnya gelombang politik baru susulan Pilihan Raya Negeri Sabah telah menyebabkan peningkatan mendadak COVID19. PN telah dari awal menasihati malah Datuk Musa Aman berusaha sehingga membawa ke mahkamah bagi mengelakkan PRN ini yang telah dari awal dikhuatiri risiko peningkatan COVID19.

Tetapi PH dan WARISAN beria-ria tetap mahukan PRN. Kerana itu, sekali pun dengan segala peringatannya, COVID19 telah merebak.

Advertisement

Rakyat rata-rata menyalahkan ahli-ahli politik. Tuding menuding jari antara parti-parti politik saya merasa agak mual untuk mengulasnya. Bagaikan tidak serik, gelombang-gelombang baru politik sedang ditiup oleh pihak tertentu yang mahu membentuk Kerajaan Persekutuan pula.

Ada yang cuba secara perubahan melalui lantikan kerajaan baru. Ada yang membisikkan ia sebenarnya bertujuan agar Parlimen dibubarkan. Adakan PRU15 segera. Sama ada benar atau tidak, semua yang menggerakkan gelombang ini adalah orang politik. Bermain-main dengan angka sokongan sedangkan negara berdepan angka COVID19 yang membimbangkan.

Sedangkan rakyat umumnya sudah melihat bagaimana satu Pilihan Raya Negeri boleh melonjakkan angka COVID19 begitu dahsyat sekali. Bagaimana pula kita mahu hadapi PRU15 yang berlangsung seluruh negara?

Ini seperti mengundang bahaya besar kepada negara dan rakyatnya. Presiden PAS , Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berulang kali menyeru supaya diperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional, perkukuhkan Muafakat Nasional.

Kerajaan yang ada jangan diporak-perandakan sekurang kurangnya untuk tempoh COVID19 dengan angka yang merbahaya sekarang. Pertukaran tetap akan ada kelam kabutnya, luar kawalannya.

Ia akan menjatuhkan kepercayaan rakyat kepada ahli-ahli politik. Nilai suara ahli politik menjadi rendah kerana dianggap punca kesusahan yang perlu ditanggung oleh rakyat.

Bagi saya dan rakyat jelata, Ketua Negara kita adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa mendahulukan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kemahuan politik sempit sesetengah yang merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerana ambisi sempit kepartian mahupun peribadi.

Kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu seluruhnya, semoga sentiasa dalam Taufik dan Hidayah Allah S.W.T yang Maha Berkuasa untuk terus memimpin negara ini dengan bijaksana sebagai payung negara.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen 
Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 3/10/2020