Hotline Siswa Negeri Perak bantu pelajar terjejas

IPOH: Kerajaan Negeri Perak bertindak proaktif dengan menyediakan inisiatif talian hotline siswa berikutan permasalahan dialami mahasiswa kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria.

Advertisement

Menurut beliau, tindakan itu diambil susulan keputusan penangguhan kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sesi Oktober secara drastik pada hari yang sepatutnya melaporkan diri susulan peningkatan mendadak kes terbaharu COVID-19.

“Buat masa sekarang, (ini) tindakan awal yang (boleh) kerajaan negeri Perak ambil bagi membuktikan keprihatinan (kerajaan) kepada mahasiswa. Sesiapa sahaja yang terkesan amat digalakkan untuk mengisi borang maklum balas yang kita telah sediakan.

“Di samping itu, saya juga ingin peringatkan kepada semua pihak khususnya badan-badan Pendidikan agar sentiasa menjaga Standard Operasi Prosedur (SOP) dengan baik. Mana-mana individu yang mengesyaki dirinya berisiko, elakkan daripada memasuki kawasan sekolah,” pesannya.

Talian hotline siswa negeri Perak beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 6 petang di mana sebarang aduan boleh dilakukan segera dengan menghubungi nombor di talian 012-6640846 atau menghantar e-mail ke info@perakpasak.org.

Maklum balas dan maklumat daripada pihak mahasiswa mahupun ibu bapa yang terkesan juga boleh disalurkan dengan mengisi borang maklum balas di pautan https://forms.gle/eLypNtiQiDsxttdW6 bagi mempercepatkan jenis bantuan akan diberikan ini. – HARAKAHDAILY 3/10/2020