PILIHAN Raya Umum Negeri Sabah telah pun tamat. Sekali lagi rakyat bersuara menolak Pakatan Harapan dan sekutunya WARISAN. WARISAN Plus yang disertai WARISAN, UPKO, PKR, DAP dan PAN gagal mempertahankan Kerajaan Negeri Sabah yang ia kuasai sejak Mei 2018 lalu.
Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah atau GRS yang dianggotai Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan PBS dalam pilihan raya ini memberi isyarat bahawa rakyat selesa dengan Kerajaan Persekutuan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mahukan kerajaan yang sama turut mewakili mereka di Sabah.
Ianya satu pengiktirafan yang pasti ditunggu-tunggu Muhyiddin demi mengesahkan segala kajian dan dapatan para penganalisa politik kebelakangan ini yang rata-rata meletakkan kadar populariti dan penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya cukup tinggi berbanding pimpinan pembangkang lain.
Pada awalnya ramai menjangkakan yang WARISAN Plus bakal kekal menerajui negeri oleh kerana parti-parti yang mencabarnya BN, PN dan PBS seakan gagal bermuafakat.
Kegagalan itu di peringkat awal telah dicuri kesempatan oleh WARISAN dengan melancarkan pelbagai siri serangan termasuklah memain sentimen anti Semenanjung dan politik kebencian.
Salah seorang pemimpinnya pula meremeh dan menghina peranan anggota keselamatan khususnya dalam menghadapi serangan para penceroboh negara di Tanduo, Lahad Datu satu ketika dahulu. Walaupun beliau menang di kerusi yang ditandinginya namun tindakan celuparnya itu merupakan salah-satu faktor yang membawa kepada kekalahan WARISAN Plus.
Apa pun hasil kesungguhan dan keterbukaan semua pihak dalam menghadapi asakkan WARISAN Plus akhirnya diisytiharkan bahawa semua gabungan pro Kerajaan Persekutuan, bersetuju bernaung di bawah gabungan besar GRS. GRS berjaya mengemukakan Aku Janji berupa ikrar buat rakyat Sabah. Kesatuan ini lebih meyakinkan rakyat dan kemampuan menegakkannya akhirnya berjaya menggugat kedudukan WARISAN Plus sehinggalah membawa kepada kekalahan mereka.
Kejayaan membina pakatan besar di Sabah bagi menghadapi WARISAN Plus dalam PRN ini sesungguhnya perlu diambil iktibar di luar Sabah agar satu tenaga yang serupa dapat dibina dan diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen yang dijangka diisytiharkan bila-bila masa dari sekarang.
Jika GRS Sabah berjaya menggugat dan merebahkan Kerajaan WARISAN Plus, apabila mereka kukuh bersatu tidak mustahil kekuatan gabungan parti-parti kerajaan di peringkat Persekutuan yang diterajui PAS, Umno dan BERSATU akan lebih bertenaga lagi apabila bersama menghadapi PRU ke-15.
Syaratnya masing-masing perlu berlapang dada, bertolak ansur dan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan.
Ini bukan masanya untuk bertelagah dan curiga-mencurigai di antara satu dengan yang lain. Ini masanya bermuafakat dan bersatu dalam menghadapi musuh yang sama demi membina masa depan yang lebih terjamin dan meyakinkan buat semua.
Semasa menghadapi PRN Sabah Muhyiddin telah berjanji bahawa selepas kejayaan di Sabah, beliau berhasrat membubarkan Parlimen bagi mendapatkan mandat baru yang diyakini lebih besar bagi meneguhkan lagi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinannya.
Lantas kemenangan di Sabah ini memberi isyarat buat PAS, Umno dan BERSATU bersama sekutu masing-masing agar segera menjalin hubungan paling erat di semua peringkat, dalam waktu yang sama menyelesaikan segala perundingan berhubung pembahagian kerusi, manifesto dan lain-lain agar mampu terjun menyertai PRU ke-15 dengan lebih yakin dan membawa kemenangan yang lebih besar.
Jika Muafakat Nasional diputuskan sebagai wadah yang akan ditunggangi kesemua pihak bagi menghadapi PRU ke-15 ini, maka jangan lagi berlengah dalam memperkukuh dan memperkasakannya. Rakyat di seluruh negara sebagaimana di Sabah menanti-nantikan sebuah kerajaan yang benar-benar mampu membela dan mempertahankan nasib mereka.
Di Sabah walaupun telah diusahakan agar GRS hanya diwakili satu parti dalam PRN berkenaan namun berlaku juga pertandingan sesama rakan kerana gagal menguruskan dengan baik persefahaman sesama parti kawan. Jika ia berjaya diuruskan tidak mustahil keputusan yang lebih baik dapat dirasai.
Mujur ia tidak menjadi faktor kekalahan GRS di Sabah, apa pun biarlah pengalaman di PRN Sabah itu menjadi iktibar buat PRU Parlimen nanti, pastikan hanya pertandingan satu lawan satu di semua kerusi agar jentera parti dapat bertindak dan bergerak dengan yakin, lancar dan teratur dan lebih penting kekalahan PRU ke-14 dahulu tidak lagi akan diulangi.
Mengulangi kesilapan PRU ke-14 dengan bertanding sesama sendiri hanya akan mengakibatkan kita tumpas dan kaduk kembali naik junjung. Tatkala itu percayalah hasrat mencungkil keluar mereka akan menjadi semakin kental dan tidak munasabah lagi lalu bersedialah kita untuk menghadapi hidup yang tidak menentu sebagaimana pada 22 bulan pemerintahan PH dahulu.
Pimpinan tertinggi parti perlu lebih kerap bermesyuwarah, berbincang dengan penuh kasih sayang dan pertanggungjawaban agar formula terbaik buat rakyat Malaysia dapat dicapai. Elakkan pengalaman di Sabah, bergeraklah bersama dengan bijak dan perancangan yang ampuh.
Di Sabah pihak WARISAN Plus yang begitu terdesak telah menggunakan kaedah kempen yang kasar dan melampau. Muafakat parti-parti pro Kerajaan PN tidak perlu melayan kaedah tidak bermaruah ini sebaliknya bergeraklah dengan penuh matang membawa rekod baik yang sedia ada serta manifesto yang mampu dilaksanakan demi kebahagiaan rakyat dan negara.
Rakyat menantikan politik baru yang bermatlamatkan perpaduan dan kesejahteraan buat semua. Rakyat muak dan bosan dengan politik adu-domba, dan janji kosong yang diamalkan oleh PH selama ini.
Rakyat di Sabah contohnya telah bersuara menyahut tawaran politik baru ini dan kini giliran kita pula di peringkat Persekutuan. Pastikan nasib dan masa depan rakyat Malaysia terus terjamin di bawah kesepakatan dan permuafakatan politik kita yang jujur dan bertanggungjawab ini.
Sementara itu di Sabah sehingga artikel ini ditulis, rakyat yang telah membuat keputusan menolak WARISAN Plus dan memberi mandat kepada GRS masih menunggu-nunggu pelantikan Ketua Menteri yang baru.
Sebarang usaha menolak keputusan rakyat dengan apa cara sekalipun sangat dikesali, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, semoga mandat rakyat dihormati dan tugas mentadbir negeri dapat diserahkan kepada kumpulan yang telah memenangi hati rakyat melalui proses undang-undang.
Yang menang perlu diiktiraf dan diberi laluan manakala yang kalah jalankanlah tugas sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/10/2020