PM pantau sendiri hal ehwal Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk menyelia sendiri hal ehwal berkaitan bumiputera.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada satu daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera I 1965-2020 (KEB I 1965-2020) yang berlangsung semalam.

“Saya sendiri secara peribadi dan kerajaan umumnya akan meneliti dokumen ini secara terperinci untuk tindakan susulan. Saya bagi jaminan apa sahaja yang diresolusi akan kita perhalusi dan laksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup KEB 1 1965-2020 di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini.

- Advertisement -

Resolusi kongres berkenaan antaranya mengangkat Mara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) sebagai agensi ulung untuk diletakkan di Jabatan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri sebagai menterinya.

Muhyiddin berkata kerajaan Perikatan Nasional amat komited terhadap pelaksanaan agenda bumiputera khususnya dalam memperkasa modal insan dan meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi.

Perdana Menteri berkata meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai oleh bumiputera di Malaysia, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

Beliau berkata bumiputera merupakan kaum yang paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding kaum Cina (1.4 peratus) dan India (4.8 peratus) pada 2019.

Selain itu, Muhyiddin berkata dari segi jurang pendapatan, perbezaan pendapatan purata di antara bumiputera dan Cina ialah sebanyak RM2,802, iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pada 1989.

“Kedua-dua indikator yang saya sebutkan ini memberikan gambaran bahawa kaum bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum lain walaupun pelbagai usaha telah dibuat melalui Rancangan-rancangan Malaysia sejaknya bermulanya Dasar Ekonomi Baru (DEB),” katanya.

Muhyiddin berkata usaha membangunkan agenda bumiputera kini diteruskan di bawah aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) untuk menangani ketidaksaksamaan, menstruktur ekonomi dan membina negara Malaysia bagi menghadapi era lebih mencabar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi mendepani dekad kebangkitan semula bumiputera, konsep “paying it forward” atau membalas budi dengan menyumbang kepada orang lain perlu diterapkan bagi mewujudkan ekosistem masyarakat bumiputera yang prihatin.  

Menurutnya, sudah tiba masa untuk penerima manfaat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang terdahulu, membalas budi dengan memberi balik kepada generasi akan datang. 

“Contohnya, bidang perniagaan merupakan peluang terbaik untuk generasi terdahulu membantu menyediakan batu asas kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti modal mentor serta modal rangkaian.

“Untuk memastikan kelangsungan komuniti bumiputera dalam jangka masa panjang, setiap daripada kita mestilah mempunyai semangat saling bantu-membantu sesama kita,” katanya.

Muhyiddin berkata semangat kekitaan dalam komuniti bumiputera mestilah diterapkan untuk mewujudkan sebuah kitaran masyarakat yang turut mengambil berat terhadap generasi masa depan.
 
Muhyiddin juga berkata sebuah jawatankuasa pelaksana mungkin boleh dibentuk di antara kerajaan dan MPM untuk melihat resolusi KEB berkenaan.

Beliau berkata jawatankuasa itu boleh diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad.

“Kita lihat (resolusi) mana yang boleh kita dahulukan, khususnya dalam keadaan sukar ini (akibat COVID-19). Kita perlukan dukungan dan kerjasama yang rapat untuk ringankan masalah yang kita hadapi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -