Perak tidak mahu anak negeri tercicir pelajaran

Jangan ada anak Perak yang tidak meneruskan pelajaran kerana tidak ada duit - Razman

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan pelbagai bantuan daripada agensi-agensi di bawahnya untuk pelajar dari keluarga berlatar ekonomi kurang mampu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria.

- Advertisement -

Menurutnya, bantuan zakat yang dikelolakan oleh pihak Baitul Mal, Yayasan Perak, badan pendidikan serta kuasa eksekutif kerajaan itu sendiri adalah antara saluran yang menyediakan bantuan kepada pelajar agar masing-masing tidak tercicir dalam arus pendidikan.

Bertindak selari dengan usaha itu, Razman menekankan agar pihak sekolah terutama guru-guru dapat memainkan peranan demi memastikan matlamat dan harapan yang ingin dibawa itu dapat direalisasikan.

Tegasnya, beliau tidak mahu ada anak Perak yang tidak dapat meneruskan pelajaran semata-mata kerana masalah kewangan dihadapi oleh pihak keluarga.

“Bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi. Jangan ada anak Perak yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tidak ada duit. Kita ada saluran-saluran untuk membantu antaranya Baitul Mal, Yayasan Perak dan bantuan khusus daripada kerajaan sendiri yang boleh kita usahakan demi memastikan hasrat ini tercapai.

“Di Perak kita (juga) ada menyediakan Sekolah Model Khas (di) Redang Panjang. Sekolah ini menyediakan tempat untuk golongan asnaf atau golongan yang tidak mempunyai sumber kewangan yang stabil untuk meneruskan pelajaran. Mereka boleh masuk ke sini.

“Sekali lagi Pak Teh ingatkan jangan ada anak perak bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tak ada duit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan MAIPK di Dewan Seri Gemilang, Sekolah Kebangsaan Tebok Panchor, di sini hari ini.

Sekolah Model Khas Redang Panjang terletak di Ijok, Batu Kurau Perak di mana sekolah ini bermula dari tahun 4 hingga tingkatan 5 dibawah satu pentadbiran dengan menyediakan asrama sebagai tempat penginapan pelajar. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -