Penduduk sokong polis tebang pokok ketum

- Advertisement -

KANGAR: Tindakan Polis Perlis menebang pokok ketum di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada Selasa lepas disambut baik penduduk tempatan.

Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun Kayang, Amirul Jufri Mat Saman berkata, tindakan tersebut perlu diperluaskan di kawasan lain di Perlis.

- Advertisement -

Katanya, tanaman ketum sebelum ini dianggap sinonim dengan Perlis.

“Tindakan polis menebang pokok ketum patut dipuji dan diperluas di seluruh negeri.

“Kawalan keselamatan mesti diperketatkan kerana kebanyakan permintaan ketum di kawasan sempadan,” katanya ketika ditemui pada program Polis Bersama Rakyat di MTD Kayang hari ini.

Baru-baru ini Ketua Polis negeri Dato’ Surina Saad dilapor memberitahu pihaknya akan memperluaskan penebangan pokok ketum ke seluruh Perlis dalam masa terdekat bagi mengurangkan aktiviti jenayah membabitkan penyeludupan daun ketum.

Menurutnya cadangan itu akan dibawa kepada Penasihat Undang-Undang Negeri memandangkan tiada akta khusus di peringkat Persekutuan yang membenarkan tindakan itu.

Pada program Polis Bersama Rakyat diadakan acara berjalan 1,000 langkah di kawasan kampung dan dialog bersama penduduk setempat.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Perlis dan Pengarah MTD Kayang Md Radzi Hassan. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -