PAS tangguh semua program umum – Tuan Guru Abdul Hadi

Gejala Covid-19 makin meningkat

MARANG: PAS mengarahkan semua program-program umum parti itu ditangguhkan akibat berlakunya peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata penangguhan program-program parti yang melibatkan umum sehingga mendapat pencerahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Advertisement

Namun, kata beliau, mana-mana program yang telah dijadualkan itu akan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang sepatutnya.

“Pertama, semua program umum ditangguhkan kerana Covid-19 yang meningkat ini. Kami (pimpinan) arahkan supaya parti (PAS) menangguh program umum, sehinggalah mendapat pencerahan daripada kementerian (KKM).

“Kedua, yang adakan mengikut SOP. Ketiga, kita (PAS) hendak memperteguhkan MN (Muafakat Nasional) dan PN (Perikatan Nasional),” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pimpinan utama PAS di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Rusila, Marang, hari ini.

Antara pimpinan PAS yang hadir, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Mengulas lanjut mengenai MN dan PN itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, suatu majlis ulang tahun sambutan Piagam Muafakat Nasional akan diadakan dalam masa terdekat ini.

“Insya’Allah, kita (PAS) minta supaya diatur ulang tahun sambutan Piagam Muafakat Nasional. Bila itu, nanti kita jumpa dengan rakan, dengan Umno,” jelasnya.

Majlis sambutan ulang tahun Piagam Muafakat Nasional itu sepatutnya diadakan pada 14 September lalu, tetapi ditangguhkan kerana berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah. – HARAKAHDAILY 2/10/2020