PAS Sabah bertapak seawal tahun 90-an

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan kenyataan wakil rakyat DAP menentang cadangan pelantikan wakil PAS menyertai Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Kabinet Negeri Sabah yang baharu dibentuk itu bersifat naif.

Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin melahirkan rasa sedih dan kasihan dengan sikap wakil rakyat DAP itu yang naif tentang peranan PAS di Sabah.

- Advertisement -

Ini kerana, katanya keberadaan PAS dalam arena politik di Sabah bukan baharu tetapi seawal tahun 90-an lagi dengan memperkenalkan sistem pendidikan berkebajikan.

“PAS telah bertapak lama di Sabah, seawal tahun 90-an lagi, PAS telah berada di Sabah. Kita (PAS) mempunyai pelbagai sistem pendidikan di Sabah, membantu rakyat Sabah dengan memberikan pendidikan berkebajikan.

“Kita ada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), kita ada SRITI (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam) dan sekarang kita mengorak langkah untuk Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

“Semuanya pendidikan berteras kebajikan, dengan kadar yuran yang amat sesuai dengan rakyat di sana (Sabah) dan dengan sistem pendidikan yang komprehensif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan beberapa pimpinan utama termasuk Presiden PAS di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Rusila, Marang, hari ini.

Justeru, kata Ir Khairil sikap dan perangai pemimpin DAP itu telah diketahui rakyat umum selama 22 bulan memerintah negara bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi mengatakan PAS ini sebagai orang baru (datang) ke Sabah adalah pendekatan yang amat naiflah. Saya amat sedih dan saya kasihanlah dengan pendapat DAP.

“Tetapi, tak apa semua orang tahu pasal DAP. Saya rasa rakyat tahu dan faham perangai DAP selama 22 bulan memerintah kita di bawah payung Pakatan Harapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Sabah, Jannie Lasimbang yang menimbulkan kebimbangannya mengenai cadangan melantik wakil dari PAS menyertai DUN dan kabinet negeri yang baharu dibentuk.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa dan Pengerusi BERSATU Terengganu, Razali Idris mencadangkan agar kerajaan baru negeri Sabah melantik wakil pemimpin mereka seperti PAS untuk menganggotai kabinet atau DUN di Sabah.

Antara pimpinan PAS yang hadir pada pertemuan dengan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -