PAS Rompin edar kuih bulan kepada kaum Cina

- Advertisement -

ROMPIN: Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Kawasan Rompin telah mengadakan edaran kuih bulan dan kipas tangan menyantuni penduduk dalam kalangan kaum Tionghua.

- Advertisement -

Program ini telah dijalankan serentak melibatkan ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Rompin iaitu DUN Ibam, DUN Muadzam dan DUN Tioman, di sini semalam.

Pimpinan PAS Rompin yang turut serta adalah Yang DiPertua, Ustaz Nazri Ahmad dan Timbalan Yang DiPertua, Ramli Awang Ahmat serta Ketua Penerangan, Syed Razman Syed Mohamad.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat Rompin, Fazilah Ahmad, program ini bertujuan membawa mesej perpaduan dan keharmonian kepada rakyat berbilang kaum.

Selain itu katanya, ia memberi peluang kepada para petugas PAS terutamanya untuk mengenali dan meraikan keunikan adat budaya kaum yang ada di negara ini.

Ketua Muslimat PAS Rompin, Ustazah Rosmaria Yusof berkata, program ini mencapai matlamat untuk menyantuni masyarakat Cina yang menyambut baik delegasi PAS, malah ada mereka yang tidak menyedari sambutan ini.

Katanya, menerusi program ini juga mengurangkan jurang antara masyarakat bukan-Islam dengan PAS dan berharap program seumpama tidak hanya menjadi nadi politik, tetapi juga semaian dakwah.

Beliau turut berharap pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dibawa PAS akan menjamin keharmonian dan kestabilan hidup masyarakat majmuk negara ini. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -