Jabatan Perhutanan sangkal dakwaan ‘Wartawan Tua’

- Advertisement -

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Pahang menafikan dakwaan bahawa terdapat aktiviti perlombongan emas haram atau penerokaan berskala besar di Hutan Simpan Lakum, Lanchang kira-kira 140 kilometer dari sini, seperti dakwaan yang tular di laman sosial Facebook, kelmarin.

Jabatan itu menerusi kenyataan media di sini hari ini, juga menolak dakwaan individu menggunakan nama ‘Wartawan Tua’ bahawa berlaku penerokaan dilakukan bagi penanaman durian jenis Musang King atau vanila, yang dikatakan tidak diketahui status ‘halal atau haram’.

“Dakwaan mengatakan banyak lombong emas haram yang berselindung di sebalik permit pembalakan dan lombong pasir, sedangkan tiada lombong emas haram wujud di Hutan Simpan Lakum, maka tiada dakwaan kegiatan itu berselindung di balik permit pembalakan.

- Advertisement -

“Siasatan juga mendapati tiada permit lombong pasir dikeluarkan di Hutan Simpan Lakum. Penjelasan ini berdasarkan semakan dan tinjauan ke lokasi yang dimaksudkan dalam dakwaan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyatakan dakwaan kerja pembalakan baru sahaja dimulakan untuk menebang kira-kira 5,665 hektar hutan simpan itu sebagai tidak berasas kerana hanya kawasan seluas 2,666.83 hektar telah dikeluarkan lesen pembalakan ladang hutan, bermula tahun 2018 hingga 2020.

Jabatan Perhutanan Pahang menegaskan bahawa mereka menjalankan tugas menguruskan hutan dengan serius dan mengalu-alukan aduan yang sahih dibuat secara terus bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. 

Semalam, seorang bekas wartawan yang mendakwa dirinya sebagai aktivis alam sekitar memuat naik status di Facebook mendakwa dirinya banyak menerima aduan bersama gambar mengenai kemusnahan hutan simpan berskala besar di Lanchang yang dikatakan bermula sejak beberapa tahun dahulu. – BERNAMA

- Advertisement -