Babi lebih ‘bertuah’ dari manusia?

- Advertisement -

SEMALAM JPV dan Exco ada melawat kandang babi Kg Selamat. Boleh rujuk di Laman Page YB Norlela Ariffin. Kita puji YB Exco Pertanian sebab turun padang untuk lihat sendiri isu penternakan babi. Nak harap MP Tasek Gelugor Shabudin Yahaya memang payah-lah. 

Yang menarik, sudah ada penternak yang bersedia ke arah melengkapkan kemudahan bagi mencapai zero waste discharge. Antaranya kemudahan penghawa dingin. Ia penting kerana selain najis dan air kencing, sisa kumbahan babi datang daripada aktiviti memandikan babi. 

Sebab apa babi kerap kena mandi? Babi makhluk yang tak tahan panas. Sehari perlu mandi 2-3 kali. Kerana itu sisa kumbahan harian babi cecah sampai 40 liter seekor. 

Cuma apa yang menghairankan, semalam ada lawatan, pagi ini bau najis babi lagi kuat. Setakat dua bulan aku duduk Bertam, pagi ini paling dahsyat. Kalau di Bertam bau setara ini, tak tahulah di Tasek Gelugor macam mana. Orang Bertam dan Tasek Gelugor cuma komen sikit pasal aroma pagi ini? 

- Advertisement -

Baik. Katanya pihak berkuasa dah serbu kandang babi baru-baru ini. Ada penternak yang kena kompaun RM250. Ya, bukan takat azab bau, air sungai tercemar teruk pun depa cuma kena RM250 saja. Itu pun katanya tak bayar sebab depa cabar mana bukti kata babi yang cemarkan?

Anak-anak tauke babi pula ramai yang peguam. Depa pertikai macam-macam. Data makmal tak valid la apa la dan lain-lain. Malah, ada berbunyi dalam laporan pihak berkuasa bahawa semuanya ikut garis panduan, elok saja. 

Tak ada aktiviti buang najis babi ke dalam sungai. Memang la tak ada, dah depa serbu jam 10 pagi. Babi pun duk megheloh lagi. Kalau dah bau pagi-pagi, ertinya aktiviti lepas buang berlaku belah malam.  

Baik, kita cuma cuma nak tanya. Kalau Sg Kereh bukan tercemar sebab najis babi, siapa atau menatang apa yang pi meruah kat dalam sungai itu? Ada 74 kandang babi di Kg Selamat. Tak semua ada kemudahan zero-discharge facilities. Kalau ada pun, hanya aktiviti mandi saja yang kurang. 

Babi masih akan berak kencing. Jadi bagaimana sisa najis babi dirawat? Berapa kapasiti kolam tadahan atau rawatan untuk rawat sisa najis babi yang ada sampai 137 ribu ekor di Kg Selamat?

Berapa jenis kolam rawatan yang ada? Kalau ikutkan garis panduan, perlu 4-5 jenis kolam rawatan yang berbeza-beza. Berapa lama sisa najis dirawat dan ditahan sebelum dilepaskan ke sungai dengan selamat?

Ikut garis panduan minimum retention time adalah 45 hari. Mampukah kolam tadahan yang sedia ada buat semua itu? Jelasnya tak mampu, sebab itulah Sungai Kreh hitam pekat.

Untuk ikut garis panduan, kawasan penternakan perlu lebih besar sebab perlu lebih banyak kolam rawatan. Hal ini agak mustahil melainkan bilangan babi dikurangkan supaya sisa mampu urus. Atau pindah ke kawasan baru yang ada kemudahan berpusat.

Itu pun, kemudahan Modern Pig Farming (MPF) ini memerlukan kos. Tak semua sanggup atau mampu.

Pihak berkuasa beri tempoh sehingga 2022 untuk laksana MPF bagi mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016. Cuma renungkan, biarpun ada MPF, adakah kandang juga bersedia dengan kolam rawatan seperti sepatutnya? Jika ya, di mana dan berapa luas kawasannya?

M. A. ZABIDI AT-TIROMI
2 Oktober 2020
Bertam – HARAKAHDAILY 2/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -