Tolak perbincangan dengan Hizbut Tahrir

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menolak sebarang perbincangan dan pertemuan dengan mana-mana kumpulan yang berkait dengan fahaman Hizbut Tahrir, selaras dengan fatwa yang diwartakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Oktober tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata pihaknya bertegas menolak perbincangan berikutan fahaman berkenaan didapati bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh memecah belahkan perpaduan masyarakat.

Beliau berkata tiada asas untuk pihaknya mengadakan pertemuan kerana ia boleh dianggap sebagai sebuah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar, malah ia juga telah difatwakan sebagai pergerakan bercanggah dengan ajaran Islam, yang perlu dielakkan dan tidak boleh disebarkan.

- Advertisement -

“Kalau bertemu dengan mereka, seolah-olah kita memberi pengiktirafan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru di sini semalam. 

Turut hadir ialah Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Datuk Md Rofiki A Samsudin.

Tosrin berkata pihaknya sedang menubuhkan Briged Aswaja Negeri Johor dari kalangan belia di Johor, yang akan ditempatkan di 886 masjid sebagai benteng membanteras semua fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang dijangka akan dilancarkan Januari, tahun hadapan.

Ahad lepas beberapa individu yang mendakwa mereka wakil kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia telah menghantar satu memorandum bantahan terhadap fatwa kedudukan Hizbut Tahrir yang telah difatwakan sebagai fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. – BERNAMA

- Advertisement -