TG Abdul Hadi bawa misi penting ke Timur Tengah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi mengakui tidak mudah melakukan tugas dalam situasi COVID-19 kini, namun optimis dilaksanakan menurut cara dan pendekatan ditetapkan.

Menurutnya, beliau kini berusaha untuk perdamaian di Asia Barat dan mewujudkan kerjasama dalam perkembangan Islam menerusi pendidikan, selain mengajak kerjasama ekonomi dan pelaburan Asia Barat ke Malaysia.

Beliau yang juga Presiden PAS berkongsi pengalaman perkembangan di Asia Barat di mana telah menjadi perhatian dan minatnya sejak kecil dibangku sekolah, semasa menuntut di universiti dan sepanjang pengalaman politiknya.

- Advertisement -

Malah katanya, kecenderungan beliau itu didorong dari ayahnya yang menjadi pemerhati politik di masa itu dengan membaca akhbar dan majalah lama berkenaan Asia Barat hingga menarik perhatiannya.

Menurut Tuan Guru, kerana itulah apabila Perdana Menteri melantiknya sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, beliau menerima dengan hati terbuka dan merasa tanggungjawab kerana mempunyai pengalaman sendiri.

“Pertama, semasa saya menuntut di Asia Barat, memang itu kajian saya. Saya mendalami kajian politik Asia Barat melalui media-media dalam tahun 60-an, 70-an, 80-an masa itu.

“Kedua, pimpinan parti menugaskan saya seringkali dalam persidangan di luar negara khusus di Asia Barat, kerana mungkin saya lebih muda daripada orang lain di masa itu, dan diberi peranan untuk menyampaikan ceramah dan membentang beberapa kertas.

“Seterusnya Kesatuan Ulamak Sedunia menugaskan saya untuk menangani beberapa krisis di peringkat Asia Barat, khususnya krisis Yaman dan pernah dilibatkan saya dengan krisis Perang Teluk yang pertama yang kedua, Bosnia, dan Afghanistan, Acheh.

“Itu merupakan pengalaman yang saya alami, walaupun, ada yang berjaya dan tak berjaya, tapi dianggap ada pengalamannya. Itulah barangkali saya dipilih, dan saya terima tanggungjawab ini dengan penuh rasa satu kewajipan yang besar yang tak boleh saya tolak,” ujarnya.

Mengupas lebih lanjut beliau menyatakan, walaupun telah mencapai kemerdekaan, tetapi negara-negara umat Islam di Asia Barat masih terbelenggu kerana pembentukannya mengikut perancangan diatur dari Perjanjian Sykes Picot.

“Negara Palestin mengikut Perjanjian Balfour, dan masih lagi mengikut telunjuk-telunjuk yang mempengaruhi walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan.

“Walaupun kita punya hasil bumi yang paling banyak di dunia, walaupun kita mempunyai tenaga manusia yang besar, mempunyai kepakaran yang sudah ada, bukan tak ada, berselerak di seluruh pelosok dunia. Tetapi tidak diadun dengan baik,” ujarnya.

Katanya, pun demikian terdapat pemimpin Islam yang berusaha menangani isu tersebut antaranya bekas Perdana Menteri Turki, Almarhum Najmuddin Erbakan dan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, mereka telah menubuhkan gabungan lapan negara umat Islam untuk bekerjasama tetapi berdepan tekanan antarabangsa hingga usaha itu terbengkalai di mana terakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur melibatkan empat negara juga berdepan tekanan sama.

“Dan negara umat Islam tak berani untuk mendukung usaha-usaha yang seperti ini. Hal-hal macam ini masih lagi menjadi halangan yang menyekat kita.

“Dengan sebab itu usaha yang serius perlu dilakukan oleh umat Islam sendiri dan pimpinan mereka untuk membebaskan diri dalam erti kata yang sebenarnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -