Kuih bulan rapatkan PAS bersama kaum Cina

- Advertisement -

KUANTAN: Kolaborasi bersama Pemuda dan Muslimat PAS Negeri Pahang termasuk dari Kawasan Kuantan dan Kuala Krau telah mengadakan edaran kuih bulan di tiga DUN iaitu Tanjung Lumpur, Inderapura dan Teruntum.

- Advertisement -

Dijayakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional dan Lajnah Dakwah kedua-dua sayap parti ini dan dari dua Kawasan tersebut telah menyantuni masyarakat kaum Tionghua selama dua hari iaitu semalam dan hari ini.

Program edaran ini memberi kesempatan para Jentera PAS beramah mesra bersama penduduk setempat dalam kalangan kaum Cina di samping menyampaikan risalah dakwah, pelitup muka dan juga pelekat logo PAS.

“Program ini diharap mengecilkan jurang antara PAS dan masyarakat Cina dengan meraikan perayaan kuih bulan mereka dan menafikan sangkaan kononnya orang PAS anti masyarakat Cina.

“Kita juga hendak buktikan rasa kebersamaan PAS dengan semua kaum di Malaysia dan memupuk kefahaman Jentera PAS mengenai kepelbagaian budaya bangsa di Malaysia,” ujar Ketua Pemuda PAS Kuantan, Khairul Nizam Che Mustofai.

Perkara tersebut juga selaras seruan yang telah diperkukuhkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) baru-baru ini.

“Islam bukan bersifat fanatik perkauman dan perkara yang paling penting juga ialah mengukuhkan perpaduan rakyat yang bertonggakkan umat Islam bersama masyarakat majmuk,” ujarnya dalam Ucapan Dasar itu.

Kuih lazimnya adalah pastri bulat atau segi empat tepat berukuran lebih kurang 10 sentimeter (cm) dalam diameter sekitar 5 cm bersama inti tebal selalunya dari isi biji teratai dikelilingi kerak nipis dan dihidang bersama teh Cina.

Keraguan segelintir masyarakat Muslim terhadap meraikan perayaan kuih bulan dalam pelbagai perdebatan wajar disirnakan dari penjelasan mudah aktivis dakwah masyarakat bukan-Islam, Firdaus Wong Wai Hung.

“Hasil penelitian didapati perayaan ini adalah perayaan budaya masyarakat Cina. Ia bukan perayaan agama dan ia boleh disambut oleh Muslim. Malah, pada hari ini sudah terdapat banyak kuih bulan halal yang disahkan JAKIM. Maka ia boleh dimakan Muslim,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -