Kemenangan anugerah Allah, syaratnya berjuang

- Advertisement -

TAMBUN: Peranan Pemuda sebagai penggerak parti hendaklah sentiasa dimurnikan dari semasa ke semasa bagi mencapai hasrat diimpikan PAS hingga berjaya menjulang kemenangan memperjuangkan Islam di tanah air ini.

- Advertisement -

Hal demikian kerana Pemuda mempunyai kepakaran dan tenaga mahir yang pelbagai di mana ia harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyumbang bakti kepada jentera parti, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Beliau berucap dalam majlis perjumpaan Ketua-ketua Pemuda PAS seluruh Cawangan dalam Kawasan Tambun di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Tambun di Taman Meru, di sini kelmarin.

Menurutnya, golongan tersebut termasuk kalangan profesional yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan atau pekerjaan di sektor awam dan swasta yang sentiasa bersedia membantu jemaah.

“Kita di Tambun ini ada pakar-pakar IT. Ada ulamak muda dan juga ramai (yang) memiliki kepakaran (dalam) bidang masing-masing. Oleh kerana itu, marilah (kita) sumbangkan kepakaran itu untuk bantu PAS dan gerak kerja Islam.

“Mereka ini tergolong dalam golongan teknokrat yang sentiasa menjadi aspirasi PAS sebagai persediaan blok pelapis kepemimpinan Malaysia khususnya negeri Perak.

“Pesan saya kepada sahabat-sahabat pemuda PAS (Tambun), ingatlah, kemenangan adalah anugerah Allah. (Akan tetapi) untuk mencapai kemenangan itu, syaratnya mesti berjuang,” jelas beliau.

Ustaz Hafez yang juga merupakan Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi turut menyeru Pemuda PAS Tambun terus mengorak langkah menyumbangkan tenaga dalam gerak kerja parti disamping menjalankan tugas hakiki masing-masing. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -