WHO sedia 120 juta kit ujian pantas COVID-19

GENEVA, Switzerland: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakan pada Isnin berkata akan menyediakan 120 juta kit ujian pantas COVID-19 kepada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, lapor agensi berita Xinhua.

Kit ujian itu boleh memberikan keputusan dalam masa kira-kira 15-30 minit berbanding sebelum ini beberapa hari atau jam, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata demikian pada taklimat media bersama pertubuhan dan rakan kongsi termasuk Yayasan Inovatif Diagnosis, Dana Global, Unitaid dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Afrika.

Advertisement

Projek ini memungkinkan pembangunan pengujian, terutamanya di kawasan sukar dilawati atau daerah pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan makmal atau pekerja kesihatan terlatih mencukupi.

Menurut WHO, kit ujian itu berharga USD5 per unit, jauh lebih murah berbanding kit ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

WHO berkata perjanjian antara dua pengeluar dan Yayasan Bill & Melinda Gates, boleh menyumbang sebanyak 120 juta kit ujian yang lebih canggih dan mudah digunakan, dalam tempoh enam bulan. – BERNAMA