Tekad KASA majukan pengurusan sumber air negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menetapkan tiga hala tuju penting dalam tekadnya untuk memajukan lagi pengurusan sumber air negara ke tahap yang lebih cemerlang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan perkara itu Majlis Dialog Industri Air anjuran Persatuan Air Malaysia (MWA) di Hotel Sunway Putra, di sini semalam.

Beliau menggambarkan kesungguhan ke arah itu dengan mengajak penglibatan seluruh masyarakat, NGO, badan korporat dan pemegang taruh berkaitan untuk menjayakan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).

- Advertisement -

“DSK merupakan salah satu pendekatan Nature-Based-Solutions (NBS) untuk menggalakkan penglibatan aktif masyarakat bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar melalui pengurusan dan penggunaan alam yang lestari.

“Dengan adanya denai di tepi sungai, nature based activities seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat dapat digalakkan. Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan mengelakkan sungai daripada dijadikan tempat pembuangan sisa,” ujarnya.

Beliau mengimbas ancaman terhadap sumber air semasa dari insiden pencemaran air Sungai Gong pada 3 September lalu di mana mengakibatkan lebih 5 juta penduduk Lembah Klang terputus bekalan air bersih selama lebih 4 hari.

Insiden ini kesali beliau, menyerlahkan kepincangan pengurusan dan kawal selia sumber air di negara ini yang rapuh dan tidak berkesan, namun telah diambil tindakan tegas pihaknya, selain langkah ke hadapan menggunakan kuasa perundangan.

“Masalah pencemaran alam sekitar telah memasuki dimensi jenayah terancang. Kaedah penguatkuasaan secara konvensional yang sedia ada kurang berkesan dan ia memerlukan elemen risikan, forensik dan koordinasi yang lebih teratur,” ujarnya serius.

KASA juga maklumnya, melihat projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai opsyen lebih baik dan mampu menyediakan sumber air alternatif tatkala sumber air utama mengalami masalah pencemaran atau untuk kegunaan pada musim kemarau dan kering.

TAPS juga jelasnya bertindak sebagai kawalan banjir ketika musim tengkujuh di mana KASA akan terus memperkasakan pelaksanaannya dengan tumpuan khas kepada negeri yang sering mengalami masalah sumber air.

KASA juga tegasnya, mahu memberi keutamaan jaminan bekalan air yang berterusan dengan sasaran 99 peratus liputan bekalan air bersih menjelang tahun 2020 berfokus kepada pelaksanaan tiga strategi.

“Iaitu mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW), meningkatkan kadar rizab margin dan penggunaan lebih meluas air tebus guna dari loji rawatan kumbahan. Saya akui bahawa pelaburan besar dibuat ke atas program NRW masih tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

“Saya berpendapat tahap purata NRW kebangsaan kian meningkat dan membimbangkan iaitu 35.5 peratus pada tahun 2017, 35.7 peratus pada tahun 2018, 36.2 peratus pada tahun 2019 dan 36.8 peratus pada suku pertama tahun 2020. Lebih dari yang saya bayangkan bahawa terdapat negeri yang mencatat paras 64.5 peratus NRW pada suku pertama tahun 2020.

“Kerugian kewangan kepada operator air akibat NRW pada tahun 2019 adalah lebih RM2 bilion,” ujarnya memberitahu kerajaan amat komited untuk mengatasi masalah tersebut dengan turut mempelawa pihak pelabur dan penyumbang ke Tabung Wakaf Air.

Menurut beliau, rizab margin yang rendah akan meletakkan sistem bekalan air kepada risiko tinggi kejadian gangguan bekalan air apabila operasi loji rawatan air dihentikan akibat kerja-kerja penyelenggaraan atau pencemaran sumber air.

Malah katanya, terdapat negeri-negeri yang berada di bawah paras selesa 10 peratus sedangkan ditetapkan SPAN antara 10 hingga 15 peratus, sekali gus KASA telah mengambil beberapa strategi dalam mengatasinya.

“Saya juga ingin melihat penggunaan air tebus guna dari loji rawatan kumbahan secara lebih meluas bagi kegunaan bagi bukan tujuan minum di kalangan industri air. KASA merancang untuk menggalakkan penggunaan semula produk sampingan dari loji rawatan kumbahan seperti bio efluen dan bio pepejal pada skala yang lebih besar.

“Untuk itu, saya ingin mencadangkan supaya operator air dan Indah Water Konsortium (IWK) bekerjasama dalam mempelopori inisiatif ini secara lebuh meluas,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut memberi penekanan berkaitan kesedaran penjimatan air berskala besar yang menyasarkan semua lapisan masyarakat diperbanyakkan antaranya meminta SPAN untuk menerajui inisiatif tersebut.

Selain beliau turut mengajak menyokong usaha SPAN dalam mempromosi penggunaan alat cekap air sebagai usaha untuk penggunaan air secara berhemah antaranya mandatori tangki siram berganda (dual flush cistern) berkapasiti 3 dan 6 liter dan urinal untuk pembangunan baharu.

Juga penggunaan mandatori paip air dan kepala pancuran mandi akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selain telah memperkenalkan skim Pelabelan Produk Cekap Air (WEPLS) secara sukarela pada tahun 2013. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -