Suntikan berkala cegah ternakan dijangkit penyakit

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPV) mengadakan program suntikan berkala secara berperingkat bagi mencegah jangkitan penyakit.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, suntikan itu bagi mencegah penyakit kuku dan mulut dan hawar berdarah.

- Advertisement -

Katanya sehingga sekarang suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut melibatkan 15,000 lembu dan kerbau.

Manakala 11,013 ekor lagi menerima suntikan vaksin hawar berdarah.

“Kalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlah tersebut mungkin lebih banyak lagi,” katanya pada program temubual disiarkan TVDI semalam.

Pada awal bulan ini 57 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ di Kampung Kubang Bujuk mati mengejut diserang penyakit hawar berdarah.

Dr Mohd Termizi juga berkata, jumlah lembu dan kerbau di Terengganu dianggar kira-kira 95,000 ekor.

Menurutnya juga program penvaksinan diadakan secara percuma di mana kos vaksin ditanggung kerajaan.

“JPV sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak terutamanya berkaitan penyakit yang menyerang ternakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -