Prinsip Maqasid Syariah jadi panduan lawan COVID-19

SEPANG: Prinsip Maqasid Syariah menjadi panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan melawan COVID-19 walaupun pada zahirnya ia tidak diuar-uarkan sebagai kerangka dalam tindakan menangani pandemik itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan pandemik itu hakikatnya merupakan pengaplikasian Prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa.

Atas semangat ‘Malaysia Prihatin’, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melaksanakan beberapa fasa PKP dan kini dalam fasa PKP Pemulihan untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman COVID-19, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN 2020), di sini semalam. 

Advertisement

“Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik itu, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa amat penting dan sebagai pemerintah, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk mengelakkan penularan wabak itu,” katanya. 

Muhyiddin berkata prinsip utama Maqasid Syariah iaitu ‘Hifz al-Din’ atau memelihara agama turut menjadi topik penting yang dibincangkan kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP.

Menurutnya, ia telah mewujudkan satu norma baharu dalam kehidupan umat Islam, antaranya solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

“Di peringkat awal, kita terpaksa menutup masjid dan surau untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat. Solat Jumaat juga tidak diadakan untuk beberapa ketika demi untuk memelihara nyawa rakyat. 

“Alhamdulillah, pada hari ini masjid dan surau telah dibuka atas sebab kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalankan ibadah yang merupakan sebahagian daripada prinsip Hifz al-Din atau memelihara agama. Namun, prinsip ini diseimbangkan dengan prinsip Hifz al-Nafs atau memelihara nyawa,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun masjid dan surau telah dibuka dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan, para jemaah mesti mengamalkan norma baharu, antaranya menjaga jarak antara jemaah. 

“Jika kebiasaannya imam menyuruh makmum supaya rapatkan saf, dalam keadaan norma baharu imam meminta makmum supaya jarak-jarakkan saf. Ini penting supaya umat Islam yang datang ke masjid untuk beribadah tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang mengancam nyawa,” katanya. – BERNAMA