Penyembuhan menggunakan magnet?

- Advertisement -

BERUBAT menggunakan gelang magnet atau tilam bermagnet semakin berleluasa akhir-akhir ini. Promosinya begitu gah sekali, kononnya gelang magnet boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis dan beberapa penyakit kronik yang lain. Testimoni yang dipaparkan begitu menakjubkan sehingga tiada lagi ubatan lain yang boleh menandingi gelang atau tilam magnet tersebut. Malah segala ubat dan rawatan hospital pun boleh kalah dengan rawatan gelang atau tilam ini. Paling menyedihkan terdapat pengguna yang sanggup menghabiskan beribu-ribu Ringgit semata-mata ingin memiliki barangan tersebut.

Sejauh manakah gelang, tilam, dan tali pinggang tersebut terbukti keberkesanannya? Di sini saya ulas sedikit berkaitan dengan hukum memakai gelang seumpama itu dan mengemukakan beberapa bukti kajian sains yang dijalankan terhadap dakwaan di atas.

Satu isu yang hangat dibahaskan adalah pemakaian gelang bermagnet di kalangan lelaki. Lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita kerana hukumnya haram dengan memakai gelang, walaupun bertujuan perhiasan atau perubatan. Tetapi dalam keadaan tertentu ianya diharuskan seperti pengenalan diri semasa berada di tanah suci.

- Advertisement -

Bahawa Rasulullah S.A.W telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka Baginda bertanya kepada lelaki tersebut:

”Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata: ”Ia adalah gelang perubatan”. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya.” 

(Sahih Riwayat Imam Ahmad)

Majalah i keluaran Mac 2008 mengeluarkan artikel padat mengenai hukum memakai gelang magnet bagi lelaki. Tulisan tersebut saya kira cuba menyelesaikan beberapa salah tanggapan dan salah faham dari sudut hukum agama. Antara huraiannya, ada sesetengah ulamak berpandangan harus memakainya bagi tujuan berubat. Ada pandangan yang mengharamkan terus dengan beberapa hujah yang dikemukakan. Artikel tersebut dapat disimpulkan bahawa memakai gelang magnet hukumnya haram melainkan alasan perubatan setelah terdapat bukti secara saintifik.

Adakah memakai gelang ini mempunyai manfaat perubatan? Artikel dari ulasan Cochrane[1] (salah satu sumber sahih perubatan dalam menjalankan kajian saintifik) tidak menunjukkan bukti yang jelas bahawa perubatan menggunakan magnet ini berkesan. Pengkaji bernama F Crawford dan C Thompson[2] menyatakan beberapa kajian yang dijalankan menggunakan magnet bagi sakit tapak kaki, tidak menyokong keberkesanan penggunaannya. Jelasnya lagi suntikan steroid bagi merawat sakit tapak kaki oleh pengamal perubatan mendatangkan kesan yang lebih baik berbanding dengan perubatan lain seperti magnet, ubat sapu steroid atau perubatan aruhan elektrik. Ubat suntikan steroid hanya boleh dijalankan oleh doktor pakar yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

Manakala Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH [3] pula menyatakan dalam artikel jurnal review bahawa tiada bukti nyata dan tiada manfaat dalam penggunaan bahan bermagnet dalam merawat sakit tengkuk yang kronik. Kesimpulan lebih dari 20 artikel kajian saintifik ini tidak menyokong penggunaan alat perubatan berasaskan magnet, menunjukkan bahawa dakwaan sesetengah pihak gelang bermagnet dan seumpamanya mempunyai tuntutan serta manfaat perubatan adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk melariskan jualan mereka sahaja.

Kesimpulannya; Perkara paling utama yang perlu diberitahu kepada pengguna lelaki Muslim adalah, tidak harus bagi mereka memakai gelang bermagnet bagi tujuan perubatan. Tiada bukti melalui kajian saintifik yang menyokong keberkesanannya dalam merawat penyakit. Malah ianya juga merugikan masa dan wang Ringgit. 

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 30/9/2020

Pautan:
[1] http://www3.interscience.wiley.com/
[2] Crawford F, Thomson C. Interventions for treating plantar heel pain. Cochrane Database of Systematic Reviews2003, Issue 3.
[3] Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH, Cervical Overview Group. Electrotherapy for neck disorders. Cochrane Database of Systematic Reviews 2005, Issue 2. pub3.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -