Penting kesedaran petani carum Perkeso

ARAU: Golongan petani, peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri disaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS).

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, caruman itu penting sebagai perlindungan apabila berlaku sebarang kemalangan dan kecelakaan semasa berkerja.

Advertisement

Katanya, pekerja yang mencarum akan mendapat perlindungan dan kebajikan daripada Perkeso.

“Sesiapa sahaja boleh mencarum termasuk petani dan peniaga kecil-kecilan asalkan mempunyai pekerjaan walaupun perusahaan di rumahnya sendiri,” katanya pada program taklimat Perkeso di perkarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Guar Sanji hari ini.

Hadir sama Pengarah Perkeso Perlis Basharudin Khalid dan pegawai agensi berkenaan.

Sempena program itu seramai 20 penduduk mengambil peluang mendaftar sebagai pencarum SPS. – HARAKAHDAILY 30/9/2020