PAS Tambun giat kempen daftar mengundi

- Advertisement -

TAMBUN: Sekretariat Daftar Pemilih PAS Kawasan Tambun giat menjalankan kempen daftar mengundi dari semasa ke semasa dengan kerjasama seluruh jentera PAS Tambun sebagai persediaan menjelang PRU15.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Md Salleh Said berkata, sejumlah 4.2 juta penduduk negara ini yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar, maka tindakan ini diambil bagi menjalankan kempen ‘Moh Daftar Mengundi’ melalui media sosial dan turun ke rumah penduduk.

“Kempen daftar mengundi ini merupakan tanggungjawab bersama, tidak kira parti pembangkang mahupun kerajaan. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga seharusnya bertindak memainkan peranan ini dengan penuh proaktif.

“4.2 juta (itu) merupakan jumlah yang sangat besar sekali gus (ia) menggambarkan kesedaran rakyat Malaysia (untuk) turun mengundi di hari pilihan raya masih di tahap yang lemah. Pada hakikatnya ia nampak mudah. Seorang pengundi menyumbangkan (hanya) satu undi sahaja.

“(Namun), nilainya sangat besar pada sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. (Dengan) satu undi itu ia mampu menentukan pembentukan sebuah kerajaan,” jelas beliau yang juga merupakan Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Hulu Kinta.

Sementara itu, menurut Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri, PAS Tambun turut berusaha mempromosikan kempen ini dengan menyediakan iklan-iklan kempen daftar mengundi melalui flyers dan banner yang digantung di kawasan Tambun.

Terdahulu, Sekretariat Daftar Pemilih Tambun dengan kerjasama PAS Zon Klebang telah membuka kaunter daftar mengundi di perkarangan Surau Medan Klebang Prima yang turut dianggotai beberapa petugas Penolong Pendaftar Pemilih SPR sebagai usaha menyemarakkan kempen itu. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -