Parit Buntar kehilangan dua tokoh istiqamah

- Advertisement -

PARIT BUNTAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menziarahi keluarga aktivis pejuang PAS yang juga bekas wartawan sambilan Harakah, Allahyarham Othman Mohd Shafie di Taman Seri Tenggara, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Razman yang diiringi Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Parit Buntar, Mohd Hayat Mokhtar bergegas ke kediaman Allahyarham apabila selesai berprogram di Kolej Vokasional Kerian setelah menerima khabar kematian tokoh istiqamah PAS itu.

“Arwah merupakan wartawan sambilan Harakah sejak tertubuhnya Harakah di peringkat awal dulu. Arwah aktif (dengan) pemberitaan isu tempatan sekitar Parit Buntar dan Perak dan terus menulis sehinggalah pada tahun 2015,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Razman juga selaku ADUN Gunung Semanggol juga berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham Tuan Guru Ghazali Ahmad di Parit Tok Ngah yang telah meninggal akibat penyakit dihadapi.

Allahyarham merupakan seorang guru dan pernah menjadi Pengetua Sekolah Menengah Agama Al-Falah pada tahun 1990-an sehingga pada tahun 2005 namun terpaksa bersara kerana mengalami penyakit angin ahmar.

Dalam masa sama, Razman menyatakan Allahyarham Tuan Guru Ghazali juga merupakan seorang yang aktif mengajar agama di masjid dan surau sekitar kawasan Parit Buntar bermula dari tahun 1960-an lagi.

“Di dalam PAS, Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan penting. Antaranya, Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Parit Buntar dan Ketua Urusan Ulamak PAS Parit Buntar di samping pernah menjadi calon PAS (untuk) bertanding di DUN Kuala Kurau.

“Kita kehilangan dua orang tokoh istiqamah yang daripada awalnya mendukung perjuangan PAS. Semoga Allah menerima segala amal perjuangan serta menempatkan mereka di dalam syurga-Nya,” jelas Razman. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -