Indikator tahap sokongan rakyat Sabah menjelang PRU-15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu memperkukuhkan kerjasama lebih erat bagi mendapat peluang tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan mesej jelas daripada penduduk itu yang boleh diambil pertimbangan untuk parti PRN Sarawak dan juga PRU-15.

- Advertisement -

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merencana dan membuat strategi dalam pilihan raya dengan mengambil kira betapa pentingnya gabungan parti politik untuk mereka menang.

“Formulasi sebelum PRU-14 hanya satu parti politik besar sahaja iaitu Barisan Nasional (BN) pada ketika itu tetapi kini tidak lagi berlaku sedemikian,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Jelasnya, pertembungan pelbagai penjuru dalam pilihan raya akan menguntungkan dan merugikan beberapa pihak, justeru itu kerajaan perlu bijak untuk menanganinya.

“Kalau banyak sangat penjuru, maka undi itu akan berpecah maka penting untuk mereka (gabungan parti) mengenal pasti formulasi pertandingan untuk mengurangkannya terutama persaingan pelbagai penjuru melibatkan satu gabungan parti politik dan melaksanakan keinginan serta keperluan rakyat.

“Tambahan wang tunai melalui Pakej Kita Prihatin memberikan kemenangan buat GRS di bawah kerajaan PN di PRN Sabah baru-baru ini kerana rakyat sememangnya memerlukan suntikan bantuan daripada kerajaan khususnya golongan B40 dan M40 akibat terjejas dek ancaman Covid-19,” katanya.

Beliau menambah, walau GRS baru dibentuk beberapa minggu semasa kempen PRN Sabah ke-16 ini, namun mereka dapat mengatasi perbezaan pandangan dalam pelantikan Ketua Menteri yang baharu merupakan satu permulaan yang baik.

“Sekarang ini, rakyat Sabah ingin melihat bagaimana GRS ini bekerjasama dan sebulat suara dalam merangka dan merealisasikan aspirasi rakyat Sabah khususnya dalam konteks pembangunan dan ekonomi.

“Ianya juga satu manifestasi terhadap pemerintahan Persekutuan bahawa ianya merupakan indikator jelas untuk mereka bekerjasama sekiranya mereka berhasrat untuk menang pada PRU-15 akan datang,” kata Anuar. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -