Himpunan relawan MCM : menyimpul ukhuwah memagar azam

- Advertisement -

GURATAN wajah ceria bersulam senyum tawa mengisi himpunan selama dua hari para aktivis Muslim Care Malaysia (MCM) yang berhimpun di Kompleks Pendidikan an Nur Besut minggu ini. Relawan yang datang sejauh Johor Bharu, Ipoh, Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, selain Terengganu dan Kelantan. Program yang dirancang untuk membina ukhuwah, merapatkan jurang kepimpinan dan aktivis NGO bernuansa kebajikan ini meninggalkan banyak kenangan manis kepada peserta.

- Advertisement -

Menghimpunkan peserta berprofil tinggi bukanlah satu perkara yang mudah bagi mana-mana organisasi di musim pandemik ini, mematuhi segala SOP, juga merencanakan tentatif yang padat namun dengan tahap disiplin yang tinggi segalanya mampu dilunaskan dengan sukses. Himpunan relawan ini turut menyantuni masyarakat daerah Besut dengan acara pemeriksaan kesihatan secara percuma, pemeriksaan gigi, acara gotong-royong perdana, kuliah-kuliah, forum, qiamullai, agihan bantuan asnaf kepada ratusan insan, jamuan, persembahan seni dan menyantuni anak syurga.

Relawan Muslim Care Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosial, juga mengukuhkan tautan ukhuwah mereka dengan mengadakan rehlah di Lata Kolam, Hulu Besut. Bukan sekadar mandi-manda dan melepaskan penat namun juga dengan acara pengisian oleh wakil Palestin, Sheikh Abu Ayesh Ahmed an Najjar. Derita daripada peta luka umat Islam yang juga pernah menjadi kiblat pertama ummah, tanah Palestin. Muslim Care Malaysia yang dipimpin oleh Haji Zulkifli Wahijan turut menziarahi pesakit dan menyerahkan sumbangan kepada insan yang diuji Tuhan di sekitar Kampung La dan Bukit Payong Besut.

Himpunan ini juga menyaksikan satu “kejutan” oleh aktivis kebajikan terkenal, Puan Natipah Abu yang telah menyerahkan sumbangan sebuah van serbaguna kepada kompleks Tahfiz an Nur Besut untuk kegunaan pelajar-pelajar. Puan Natipah yang dikenali dengan panggilan kak Pah bersama teman-temannya juga menyediakan sumbangan kepada Dewan Tok Guru, bantuan asnaf, bantuan cermin mata dan juga menyantuni anak-anak syurga.

Menarik juga ialah relawan-relawan ini pernah terlibat dalam siri-siri misi Muslim Care dalam negara, juga luar negara. Ratusan misi dakwah dan kebajikan dalam negara semenjak 15 tahun penubuhan NGO kebajikan ini. Pakej dengan objektif dakwah maka MCM menyambangi kampung-kampung orang asal di seluruh negara, kampung-kampung tradisi di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Puluhan pulau di negara ini disantuni seperti Pulau Banggi, Pulau Mabul, Selakan, Perhentian, Redang, Pulau Ketam, Pulau Mantahani dan lain-lain.

Tragedi yang membidani Muslim Care

Pulang daripada misi bantuan Acheh pada Januari 2005 , dengan sejuta pengalaman baru, menghirup nikmat membantu masyarakat yang dilanda tsunami (menelan 200 ribu korban) serta membina jaringan baru maka kami merasakan unit Muslim Care di bawah Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda wajib diangkat menjadi sebuah gerakan swadaya yang lebih terarah fokusnya. Perlu berdiri sendiri, mempunyai kantung sendiri dengan menjadi sayap yang melengkapi harakatul ummah.

Banyak gerakan swadaya muslim antarabangsa yang setanding dengan badan kebajikan kristian yang kelihatan mapan dan tersohor membantu peta luka. Dipelbagai belahan dunia, NGO Islam seperti Muslim Aid, Islamic Relief, Hasana Foundation, IHH, alkhidmat Foundation, PIMA dan puluhan nama besar yang lain. NGO ini berlumba membantu umat Islam termasuk ibadah korban yang dilakukan di seluruh dunia, atas kesedaran menjaga akidah umat agar tak dilencong oleh para misionaris bertopeng kebajikan.

Di samping mempunyai struktur mandiri yang boleh memfokuskan gerakan kebajikan dalam dan luar negara. Mempunyai akaun bank yang akan memudahkan pelbagai misi digerakkan dan memudahkan para penyumbang untuk berkongsi pahala.Tuhan melorongkan kemudahan kepada kami untuk membantu masyarakat, menarik rasa percaya rakyat negara ini untuk bermandi keringat dan membantu ummah.

Bermula dengan tragedi tsunami Acheh, akhirnya pelbagai misi berjaya digalang, antaranya misi gempa bumi di Kashmir, Pakistan, membantu mangsa tsunami Pagandaran, Cipatujah yang menyaksikan ribuan insan hilang kediaman. MCM menyantuni mangsa perang Lubnan pada tahun 2006 akibat serangan regim Israel terhadap Lubnan Selatan.

Puluhan misi kemanusiaan ke Kemboja dengan membina sekolah dan masjid serta acara korban perdana tahunan, usaha yang sama dibuat di Vietnam. Terlibat dengan misi membantu mangsa gempa bumi di Bantul Indonesia, Bangladesh, Assam India, Jepun, Filipina, Kota Palu, Donggala, Wilayah Sigi, Lombok dan Mataram. Misi kebajikan di Selatan Filipina, Selatan Thailand, Sudan, Nigeria, Republik Chad, Mauritania, Nepal dan negara Afrika yang lain.

MCM juga terlibat dengan puluhan misi membantu muslim Rohingya termasuk membina sekolah-sekolah tahfiz dan masjid kem pelarian di Cox Bazaar, teknaf, Kutupalong, Bhangkhali serta Chittagong juga misi membantu di Myanmar termasuk Food Flotilla For Mynmar, juga masuk ke wilayah konflik di Maunday dan Sittwe.

MCM berterusan sehingga kini membantu umat Islam di Gaza Palestin dengan membina kilang roti, masjid, perpustakaan, kenderaan pelbagai guna. Kolaborasi dengan NGO di Palestin membolehkan usaha membantu dibuat dengan konsisten dalam tempoh 15 tahun ini serta pemberdayaan terhadap pelbagai usaha masyarakat Palestin untuk membebaskan diri daripada lingkaran ganas kemiskinan.

Gejolak pembantaian di Syria pasca Arab Spring membawa MCM terlibat daripada awal dan secara berterusan membantu di medan konflik. Usaha cemerlang yang diiktiraf oleh UNICEF ialah kejayaan mengendalikan enam buah sekolah pelarian Syria serta usaha kemandirian menternak lembu untuk pelarian Syria di sempadan Syria-Turki. Dua aktivis Muslim Care telah terkorban semasa mengagihkan makanan kepada mangsa peperangan di Syria. Tribulasi ini tidak mematahkan semangat MCM untuk terus berbakti walaupun terhampar seribu ujian dan mehnah.

Selain itu kejayaan MCM di sebelah tanah Eropah ialah mewujudkan Islamic Centre di Poland untuk membantu pelarian Chechen, juga membantu masjid di Bosnia serta membantu pelarian Syria di Austria , Jerman dan Republik Chech. Tsunami Acheh tetap dalam kenangan kolektif kami walau telah berlalu 15 tahun lampau kerana bertolak daripada tragedi besar ini, muncul NGO Muslim Care Malaysia yang menggalang nuansa manusiawi membantu insan melewati garis sempadan dan geografi.

Terima kasih kepada seluruh relawan, aktivis Muslim Care Malaysia serta rakyat Malaysia yang menyokong dan mendukung usaha kami selama ini dan akan datang. Juga tribut buat pahlawan kami yang telah pulang ke negeri abadi, almarhum Ustaz Norazli Musa alias Ustaz Toliban yang bersemadi di Baqie’ Madinah, juga Dr Bashar dan Abu Ishak iaitu aktivis MCM di Syria yang terkorban semasa misi membantu masyarakat. Semoga kita ditemukan di tempat paling indah di negeri abadi kelak, terus membantu, menyemai bakti bersama wadah ini “membantu tanpa sempadan”.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah aktivis bantuan tanpa sempadan) – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -